Artikel oleh Hearing Partners, disumbangkan oleh Noor Atikah Atan, Audiologis di Hearing Partners
Kemunculan benjolan belakang telinga boleh menjadi satu perkara yang membimbangkan kita. Ia mungkin mendatangkan rasa sakit, terasa lembut bila disentuh atau mungkin hanya satu benjolan kecil, tetapi sudah cukup untuk membuatkan anda tertanya-tanya sama ada ia sesuatu yang serius.
Dalam artikel ini, kita akan melihat apakah maksud di sebalik masalah bengkak belakang telinga, penyebabnya dan pilihan rawatan yang ada. Kita juga akan menjawab beberapa soalan lazim mengenai topik ini.
Mengapa Belakang Telinga Saya Bengkak?
Terdapat beberapa sebab mengapa benjolan boleh terbentuk di belakang telinga. Penting untuk kita mengetahui penyebab di sebalik benjolan ini kerana ia membolehkan kita menentukan sama ada rawatan perubatan diperlukan atau sebaliknya.
Otitis media
Benjolan belakang telinga boleh terjadi disebabkan oleh otitis media, di mana ia merupakan suatu jangkitan di bahagian tengah telinga. Ketulan ini terbentuk kerana jangkitan telinga telah menyebabkan keradangan dan bendalir akan terbentuk di bahagian belakang gegendang telinga. Dalam sesetengah kes, otitis media akan sembuh dengan sendirinya tanpa memerlukan rawatan khusus.
Namun begitu, jika anda mempunyai - tanda-tanda seperti sakit telinga, demam atau semakin hilang pendengaran, anda harus segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan sepenuhnya untuk mengelakkan sebarang komplikasi.
Mastoiditis
Mastoiditis adalah jangkitan pada tulang mastoid—tulang yang terletak betul-betul di belakang telinga yang memainkan peranan dalam proses pendengaran manusia. Ia selalunya terbentuk apabila jangkitan di bahagian tengah telinga (otitis media) tidak dirawat dengan segera, membolehkan bakteria untuk merebak dari bahagian tengah telinga hingga ke tulang mastoid.
Salah satu petanda berlakunya masalah mastoiditis ialah muncul satu benjolan belakang telinga, biasanya diikuti dengan sakit telinga. Simptom biasa yang lain adalah seperti berikut:
- Demam
- Keluar cecair dari telinga
- Hilang pendengaran pada telinga yang terjejas
- Nanah keluar dari bengkak belakang telinga
- Sakit kepala
Jerawat
Jerawat boleh terbentuk apabila lubang pori kulit tersumbat dengan minyak berlebihan, sel kulit mati dan bakteria. Walaupun ia biasanya terjadi di bahagian muka dan belakang badan, jerawat juga boleh timbul di belakang telinga. Jika benjolan belakang telinga itu terasa sakit atau tidak surut, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang betul supaya ia cepat sembuh dan mengurangkan rasa tidak selesa.
Bisul
Bisul adalah benjolan berisi nanah yang terbentuk apabila badan anda melawan serangan jangkitan. Apabila bakteria masuk melalui sesetengah anggota badan, seperti belakang telinga, sistem imun anda akan menghantar sel darah putih untuk melawannya. Hasilnya adalah pembentukan bakteria dan sel darah putih mati, yang seterusnya membentuk benjolan berisi nanah.
Benjolan ini biasanya terasa panas, sakit apabila disentuh dan mungkin juga akan menjadi kemerahan. Jika anda ternampak benjolan belakang telinga seperti ini, pastikan anda memeriksanya dengan doktor untuk mengelakkan ia menjadi lebih teruk.
Lipoma
Lipoma adalah benjolan lemak tidak berbahaya yang terbentuk di bawah kulit, termasuklah di belakang telinga. Walaupun penyebab utamanya tidak diketahui, ia dipercayai bahawa genetik atau trauma fizikal mungkin menjadi penyebab kepada pembentukannya. Lipoma selalunya terasa lembut, tidak sakit dan tumbuh secara perlahan. Namun, jika anda ternampak sebarang perubahan padanya atau mulai berasa tidak selesa, adalah lebih baik untuk anda membuat pemeriksaan doktor.
Nodus limfa membengkak
Nodus limfa adalah sebahagian daripada sistem imun badan kita dan ia terdapat di pelbagai bahagian anggota badan, termasuklah di belakang telinga. Apabila nodus limfa ini bertindak balas pada jangkitan atau penyakit (seperti selesema), ia boleh membengkak dan membentuk benjolan kecil di bahagian tersebut.
Nodus limfa yang membengkak biasa terjadi pada kanak-kanak, malahan orang dewasa juga boleh mengalaminya. Ia biasanya disertai dengan simptom lain seperti:
- Kulit merah dan panas di belakang telinga
- Rasa sakit di bahagian benjolan
- Sakit tekak
- Demam
- Hidung berair
- Batuk
- Seram sejuk
- Peluh malam
- Keletihan
Sista sebum
Sista sebum adalah benjolan tidak berbahaya yang terbentuk apabila kelenjar sebum tersumbat. Sista ini selalunya terbentuk di sekitar atau belakang telinga dan biasanya tidak sakit, jadi ramai yang tidak perasan akannya. Namun begitu, dalam sesetengah kes, ia boleh menimbulkan rasa tidak selesa. Jika ini terjadi, adalah lebih bagus untuk memeriksanya dan jika perlu, ia akan dibuang oleh doktor.
Kanser
Lagi satu penyebab bengkak belakang telinga yang tidak harus diabaikan ialah kanser nasofarinks. Jenis kanser ini biasanya sukar untuk dikesan di peringkat awal kerana ia tidak terus menunjukkan simptom yang jelas.
Apabila ia semakin melarat, benjolan mungkin akan timbul di belakang telinga atau di tengkuk bersama dengan petanda lain seperti:
- Sukar untuk menelan
- Hidung selalu berdarah
- Hilang pendengaran (biasanya pada satu telinga)
- Tinitus (bunyi berdesing dalam telinga)
- Sakit kepala
- Hidung tersumbat
- Hilang berat badan tanpa sebab
Walaupun ketulan di belakang telinga jarang menjadi kanser, anda harus mendapatkan pemeriksaan perubatan segera jika anda melihat mana-mana gejala di atas.
Bilakah Saya Perlu Berjumpa Doktor Jika Timbul Bengkak Belakang Telinga Saya?
Sekiranya terdapat benjolan belakang telinga, anda perlu bertemu dengan doktor bagi mendapatkan diagnosis profesional untuk memeriksa sebarang masalah kesihatan serius. Malah, berjumpalah doktor dengan segera jika anda menemui petanda berikut, kerana ia boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan lain yang lebih teruk.
- Benjolan yang membesar dengan cepat
- Benjolan yang berubah tempat
- Bengkak yang berisi bendalir atau nanah
- Benjolan yang keras
- Disertai simptom lain, seperti hilang berat badan, peluh malam, demam, sakit telinga dan keluar bendalir dari telinga
- Rasa sakit yang teruk secara tiba-tiba di bahagian yang berkaitan
- Sukar untuk mendengar
Bagaimana Untuk Merawat Bengkak Belakang Telinga Saya?
Rawatan untuk masalah bengkak belakang telinga adalah bergantung pada penyebab di sebaliknya. Berikut adalah cara rawatan yang berbeza bagi setiap jenis benjolan:
| Penyebab | Rawatan |
|---|---|
| Otitis media | |
| Mastoiditis | |
| Jerawat | |
| Bisul | Untuk bisul kecil: Untuk bisul besar: |
| Lipoma | |
| Nodus limfa membengkak | |
| Sista sebum | |
| Kanser |
Soalan Lazim Tentang Bengkak Belakang Telinga
Adakah benjolan di belakang telinga sesuatu yang merisaukan?
Tidak, ia boleh disebabkan oleh jerawat atau jangkitan, yang sepatutnya akan sembuh sendiri dalam masa beberapa minggu. Namun begitu, bengkak belakang telinga boleh menjadi isyarat kepada masalah lain yang lebih serius. Jika anda berasa ragu-ragu, dapatkan diagnosis daripada ahli profesional untuk memastikan yang ia bukanlah masalah kesihatan yang serius.
Adakah kanak-kanak lebih mudah untuk mendapat benjolan belakang telinga?
Ya, kanak-kanak lebih mudah untuk mendapat bengkak belakang telinga kerana mereka lebih terdedah kepada jangkitan, yang mengakibatkan pembengkakan nodus limfa. Benjolan-benjolan ini biasanya tidak berbahaya dan akan surut sendiri apabila jangkitan berakhir. Jika anda tidak pasti mengenai penyebab kepada benjolan tersebut, atau jika bengkak itu menjadi semakin besar dan tidak surut, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan diagnosis profesional.
Noor Atikah Atan ialah Pakar Audiologi Klinikal di Rakan Pendengaran. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Audiologi dengan Kepujian dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan didaftarkan di bawah Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia MAHPC(AUD)00512. Dia berusaha untuk membuat perubahan dalam kehidupan pelanggannya dengan membantu mereka meningkatkan pendengaran dan komunikasi mereka.

