Bunyi Pop Atau Meletup dalam Telinga Anda: Punca, Rawatan dan Bila Perlu Dapatkan Bantuan Perubatan

12 Nov 2025

Bunyi pop atau bunyi meletup di dalam telinga biasanya mirip dengan bunyi yang terhasil daripada bertih bijirin yang sedang dimasak. Bunyi yang agak mengganggu ini tidak menimbulkan rasa sakit dan mungkin berpunca daripada pelbagai faktor yang tidak serius. Namun begitu, terdapat juga beberapa situasi yang lebih teruk yang boleh menyebabkan bunyi ini terhasil.

Artikel ini akan membincangkan punca mengapa bunyi ini boleh kedengaran dan proses diagnosisnya. Selain itu, kami juga akan berkongsikan cara untuk menghentikan bunyi pop atau bunyi meletup di dalam telinga anda dan menjawab beberapa soalan lazim mengenainya.

Apakah Punca Bunyi Pop Atau Bunyi Meletup di Dalam Telinga Anda?

Anda ingin mengetahui tentang punca di sebalik bunyi pop atau meletup di dalam telinga anda dan sama ada ia membayangkan masalah yang lebih besar? Teruskan membaca untuk mengetahui sebab di sebalik bunyi ini.

Barotrauma Telinga

Wanita yang mengalami barotrauma telinga

Barotrauma telinga adalah salah satu masalah kecil yang boleh menyebabkan bunyi pop atau bunyi meletup kedengaran di dalam telinga anda. Ini berlaku disebabkan oleh perubahan pada tekanan udara, biasanya dialami ketika kita melakukan aktiviti seperti menaiki kapal terbang atau menyelam skuba.

Pengumpulan Tahi Telinga

Tahi telinga sering dilihat sebagai sesuatu yang kotor, tetapi sebenarnya, ia memainkan peranan penting dalam memastikan telinga anda kekal lincir dan dilindungi daripada jangkitan. Walaupun telinga kita telah direka untuk mengeluarkan tahi telinga secara semula jadi, terdapat beberapa situasi di mana ia boleh terperangkap di dalam saluran telinga dan menyebabkan ia tersumbat.

Situasi tersebut boleh terjadi ketika anda mengorek telinga dengan objek seperti putik kapas. secara tidak sengaja, ia boleh menolak tahi telinga lebih jauh ke dalam saluran telinga. Tambahan pula, penghasilan tahi telinga yang lebih banyak atau saluran telinga yang sempit boleh menyebabkan pengumpulan tahi telinga.

Apabila tahi telinga terkumpul secara berlebihan di dalam saluran telinga, anda mungkin akan terdengar bunyi pop atau meletup ketika menggerakkan rahang anda.

Kegagalan Tiub Eustachian

Tiub Eustachian menghubungkan bahagian telinga tengah dengan tekak atas dan belakang hidung. Ia biasanya akan kekal tertutup tetapi terbuka ketika melakukan tindakan seperti menguap, mengunyah atau menelan.

Kegagalan tiub Eustachian terjadi apabila tiub Eustachian gagal untuk terbuka atau tertutup dengan betul, biasanya kerana alahan, demam selesema, jangkitan sinus, masalah struktur atau ketumbuhan di dalam saluran hidung. Kegagalan ini kemudiannya boleh menghasilkan bunyi meletup atau pop di dalam telinga kita.

Jangkitan pada telinga tengah

Jangkitan telinga tengah, atau dikenali sebagai otitis media akut, berlaku apabila tiub Eustachian terhalang dan menyekat penyaliran cecair dengan betul. Pengumpulan cecair ini boleh mengakibatkan jangkitan dan menimbulkan bunyi meletup atau pop di dalam telinga.

Mereka yang mengalami jangkitan telinga tengah mungkin akan mengalami simptom seperti demam, sakit telinga, bengkak, keradangan dan juga hilang pendengaran, terutamanya untuk kes yang teruk atau kronik. Secara umumnya, kanak-kanak lebih cenderung untuk mengalami jangkitan telinga tengah berbanding orang dewasa.

Tinitus

Wanita dengan Tinnitus

Otot tensor timpanum dan stapedius, yang terdapat di dalam bahagian telinga tengah, memainkan peranan penting dalam mengalirkan getaran ke dalam telinga. Mioklonus Telinga Tengah (MEM) adalah sejenis tinitus yang jarang ditemui, yang menyebabkan kekejangan di bahagian otot tertentu di telinga tengah. Namun begitu, penting untuk anda ketahui bahawa terdapat beberapa punca tinitus, termasuklah kerosakan dalam telinga atau gangguan neurologi.

Kekejangan otot stapedius boleh menghasilkan bunyi berdesing atau meletup manakala kekejangan otot tensor timpanum akan menyebabkan bunyi pop. Bunyi ini boleh kedengaran di salah satu atau kedua-dua belah telinga serta mempunyai kekuatan dan kenyaringan yang berbeza untuk setiap individu. Ia juga mungkin menunjukkan sifat yang berbeza termasuklah bunyi dengan corak berirama atau tidak tetap.

Punca sebenar MEM masih lagi tidak diketahui, walaupun ia mungkin dikaitkan dengan faktor kongenital, trauma bunyi atau getaran dan kekejangan lain seperti kekejangan sebelah muka.

Gangguan sendi Temporomandibular (TMJ)

Sendi temporomandibular (TMJ) menyambungkan tulang rahang dengan tengkorak dan terdapat di kedua-dua bahagian kepala berhampiran telinga. 

Kerosakan sendi atau pereputan tulang rawan boleh mengakibatkan gangguan TMJ, yang akan menghasilkan bunyi klik atau pop berhampiran telinga ketika anda membuka mulut atau mengunyah. Bunyi ini mungkin disertai dengan rasa sakit. Simptom lain bagi gangguan TMJ termasuklah kekejangan otot rahang atau gangguan pergerakan rahang.

Cara Mendiagnosis Bunyi Pop Atau Meletup Dalam Telinga Anda

Mendiagnosis Bunyi Meletus atau Berdentum di Telinga Anda

Doktor biasanya akan bertanya tentang sejarah perubatan anda dan melaksanakan penilaian fizikal secara menyeluruh yang mungkin melibatkan pemeriksaan telinga, tekak dan rahang anda. Mereka juga mungkin akan menjalankan ujian pengimejan seperti imbasan Tomografi Berkomputer (CT) atau Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) serta ujian pendengaran untuk menilai sebarang masalah pendengaran yang mungkin berkaitan dengan jangkitan telinga tengah atau masalah lain.

Walaupun untuk sesetengah kes, ujian pendengaran boleh memberikan banyak maklumat bernilai, ia masih lagi bukan penentu yang kukuh dalam mencari punca bunyi pop atau meletup. Ujian tambahan seperti timpanometri dan ujian refleks akustik mungkin lebih membantu dalam mendiagnosis masalah konduktif tersebut. Timpanometri menilai pergerakan gegendang telinga manakala ujian refleks akustik menilai laluan saraf dan pengecutan tendon telinga tengah.

Ujian-ujian ini, apabila digabungkan dengan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh, boleh memberikan maklumat yang lebih lengkap.

Berbincang dengan audiologis kami hari ini

Sekiranya anda terdengar bunyi pop atau meletup di dalam telinga, buat janji temu untuk memeriksa telinga anda dengan pakar penjagaan pendengaran profesional kami hari ini juga.

Apakah Pilihan Rawatan Untuk Bunyi Pop atau Meletup Dalam Telinga Anda?

Bunyi meletup atau bunyi pop di dalam telinga mungkin tidak memerlukan rawatan, terutamanya jika ia berlaku sekali-sekala. Malah, jika bunyi tersebut adalah disebabkan oleh barotrauma telinga, anda boleh cuba menyamakan tekanan di dalam telinga tengah anda dengan menelan, menguap atau mengunyah.

Namun begitu, sekiranya bunyi tersebut disebabkan oleh punca lain, rawatan mungkin diperlukan bergantung pada faktor masalah tersebut berlaku. Berikut adalah beberapa pilihan rawatan yang mungkin akan disyorkan oleh doktor anda:

  • Mencuci tahi telinga

Sekiranya bunyi tersebut disebabkan oleh pengumpulan tahi telinga, pakar penjagaan pendengaran profesional anda mungkin akan menyarankan anda mencuci tahi telinga sebagai pilihan rawatan. Ini melibatkan penggunaan ubat titis telinga atau menjalani rawatan irigasi telinga atau penyedutan mikro.

Ubat titis telinga boleh membantu mencairkan tahi telinga dan memudahkan proses pengeluarannya. Doktor anda akan memberikan preskripsi kepada anda. Rawatan irigasi telinga dan penyedutan mikro adalah satu kaedah yang selamat untuk mengeluarkan tahi telinga dan biasanya akan dilakukan oleh doktor ENT di dalam klinik.

  • Antibiotik

Sekiranya bunyi pop atau meletup dalam telinga itu berlaku kerana jangkitan telinga yang teruk, doktor anda juga mungkin akan menyarankan penggunaan antibiotik.

  • Ubat alahan

Menggunakan ubat pelega atau ubat alahan boleh mengurangkan rasa telinga tersumbat dan bunyi pop sambil memberikan peluang kepada badan anda untuk pulih daripada reaksi alahan.

  • Memasukkan tiub telinga

Untuk mengurangkan tekanan dan mengeluarkan cecair daripada telinga, doktor anda juga mungkin akan memasukkan tiub pada gegendang telinga anda. Mereka juga mungkin akan membuka tiub Eustachian menggunakan kateter belon kecil untuk merawat masalah kegagalan tiub Eustachian.

  • Latihan terapi fizikal

Latihan terapi fizikal, seperti latihan meregang dan menguatkan rahang, boleh membantu menangani masalah gangguan TMJ. Selain itu, terapi secara manual juga membantu meregangkan tisu lembut dan otot pada rahang secara berkesan dan meningkatkan fleksibiliti dan pergerakan secara keseluruhan.

Soalan Lazim Mengenai Bunyi Pop atau Meletup di Dalam Telinga Anda

Adakah bunyi pop atau meletup di dalam telinga saya merupakan satu masalah serius?

Bunyi pop atau meletup di dalam telinga biasanya bukanlah sesuatu yang membimbangkan kerana untuk kebanyakan kes, ia tidaklah serius. Namun begitu, terdapat beberapa keadaan yang mungkin menunjukkan masalah yang lebih teruk seperti jangkitan telinga atau hilang pendengaran.

Jika bunyi pop atau bunyi meletup di dalam telinga berterusan melebihi 24 jam atau jika anda mengalami simptom lain seperti demam, sakit kepala yang teruk atau semakin hilang pendengaran, kami menyarankan anda membuat pemeriksaan perubatan daripada doktor Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) atau audiologis.

Adakah bunyi pop atau meletup akan berhenti dengan sendirinya?

Ya, kebanyakan masalah bunyi pop atau meletup di dalam telinga tidaklah serius dan biasanya akan sembuh sendiri tanpa bantuan perubatan. Namun begitu, untuk sesetengah kes, bunyi tersebut tidak akan berhenti sendiri dan memerlukan rawatan daripada doktor.

Bilakah saya patut bertemu doktor untuk masalah bunyi pop atau meletup di dalam telinga saya?

Jika bunyi tersebut berterusan melebihi 24 jam atau mula mengganggu rutin harian anda, kami mengesyorkan anda mendapatkan nasihat daripada audiologis atau doktor ENT. Selain itu, anda juga perlu mendapatkan rawatan perubatan jika bunyi meletup atau bunyi pop menjadi semakin kuat atau mempunyai simptom berterusan lain seperti demam, sakit kepala yang teruk atau gangguan pendengaran.

Walaupun bunyi pop atau meletup yang dihuraikan di dalam artikel ini merujuk kepada sensasi fizikal yang dirasakan di dalam telinga, penting untuk diketahui bahawa mereka yang mengalami gangguan saraf juga mungkin akan merasai sensasi yang sama, di mana ia bukanlah masalah gangguan bunyi. Untuk kes sebegini, anda mungkin memerlukan pemeriksaan selanjutnya daripada ahli perubatan profesional yang pakar mengenai neurologi atau masalah masalah lain.

Bolehkah saya mencegah bunyi pop atau meletup di dalam telinga saya?

Terdapat beberapa amalan yang dapat membantu mengurangkan kebarangkalian berlakunya bunyi pop atau meletup di dalam telinga anda. Ia termasuklah:

  • Amalan kebersihan yang baik: Untuk menghalang jangkitan, penting untuk anda membasuh tangan secara kerap dan mengelakkan daripada berkongsi barangan peribadi. Langkah mudah ini dapat membantu mengurangkan risiko gangguan tiub Eustachian, iaitu komplikasi yang biasa dikaitkan dengan penyakit tersebut.
  • Elakkan daripada mengorek telinga anda: Mengorek telinga dengan objek seperti putik kapas akan menolak tahi telinga lebih jauh ke dalam saluran telinga dan meningkatkan risiko saluran telinga tersumbat. Manakala, penggunaan jari anda untuk mengorek telinga akan meningkatkan risiko jangkitan telinga kerana anda mungkin akan mencalarkan kulit lembut di dalam saluran telinga secara tidak sengaja.

Jangan tunggu! Tempah ujian pendengaran di Hearing Partners hanya dengan beberapa klik!