Jerawat di Telinga: Simptom, Penyebab dan Cara Merawat serta Cara Mencegahnya

20 Mac 2025

Artikel oleh Hearing Partners, disumbangkan oleh Nur Azren, Ahli Audiologi Klinikal di Hearing Partners. Puteri Natasha, Pakar Audiologi Klinikal dan Joanne Loo, Pakar Audiologi Klinikal di Hearing Partners

Sama seperti anggota badan berkulit yang lain, telinga juga tidak terselamat daripada masalah jerawat. Jerawat di telinga bukan sahaja menjengkelkan, tetapi ia juga boleh menimbulkan rasa sakit dan ketidakselesaan disebabkan oleh karakter unik yang ada pada anggota badan ini.

Jerawat di dalam telinga boleh jadi lebih menyakitkan berbanding jerawat yang ada pada anggota badan yang lain seperti pipi dan dahi. Ketiadaan lemak yang mencukupi dan ketegangan kulit yang disebabkan oleh tulang rawan dalam telinga boleh meningkatkan lagi rasa tidak selesa apabila terdapat jerawat yang meradang. 

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan simptom, penyebab dan kaedah berkesan untuk merawat dan mencegah jerawat daripada timbul di dalam telinga. Dengan memahami sifat semula jadi jerawat telinga dan melaksanakan langkah penjagaan yang betul, anda boleh mengurangkan rasa sakit dan tidak selesa yang disebabkan oleh jerawat, serta mengurangkan kebarangkalian untuk ia terjadi lagi.

Bahagian Dimana Jerawat di Telinga Sering Muncul

Jerawat boleh muncul di banyak tempat di dalam telinga kita. Antara kawasan yang ia biasa muncul termasuklah di bahagian cuping telinga, belakang telinga dan juga di dalam saluran telinga.

  • Jerawat di cuping telinga: Kawasan ini cenderung untuk mengumpulkan kotoran, minyak dan bakteria, terutamanya jika anda sering memakai subang telinga.
  • Jerawat di belakang telinga: Bahagian ini terdedah kepada peluh dan pengumpulannya, dan apabila ia bergabung dengan minyak dan sel kulit mati, ia boleh membuatkan pori tersumbat dan menyebabkan pembentukan jerawat.
  • Jerawat di dalam telinga: Jerawat di dalam saluran telinga boleh terjadi disebabkan oleh beberapa gabungan faktor, seperti penghasilan seruman (tahi telinga) yang berlebihan, pembentukan bakteria dan penjagaan kebersihan yang tidak betul. Jerawat di dalam telinga boleh menyebabkan telinga rasa sakit, gatal dan tersumbat.

Penyebab Jerawat di Dalam Telinga

Jerawat, sama ada ia muncul pada muka anda, bahagian belakang badan, di dalam atau di sekeliling telinga, adalah hasil daripada lubang pori yang tersumbat. Apabila pori pada kulit anda tersumbat disebabkan oleh kombinasi minyak, peluh dan sel kulit mati, ia boleh membawa kepada pembentukan jerawat. 

Berikut adalah beberapa cara di mana lubang pori pada telinga anda boleh jadi tersumbat:

Pengumpulan sebum, sel kulit mati dan peluh

Telinga, sama seperti bahagian badan yang lain, terdedah kepada pengumpulan bahan-bahan yang dinyatakan di atas terutamanya di dalam keadaan panas dan lembap atau semasa peningkatan aktiviti fizikal.

Cara mencuci tahi telinga yang tidak betul menggunakan putik kapas

Apabila cara mencuci tahi telinga tidak dilakukan dengan betul, atau ketika menggunakan putik kapas untuk membersihkan telinga, tahi telinga boleh tertolak lebih jauh ke dalam saluran telinga, menyebabkan telinga tersumbat dan risiko timbulnya jerawat.

Fon telinga, alat bantuan pendengaran dan subang yang kotor dan tidak dibersihkan dengan kerap

Sekiranya peralatan ini tidak dibersihkan dengan kerap, ia boleh memindahkan kotoran pada kulit telinga anda dan menyebabkan pembentukan jerawat di telinga.

Pendedahan kepada persekiran yang berhabuk atau kotor

Habuk, kotoran dan bahan tercemar yang ada di dalam udara boleh singgah pada kulit, menyumbatkan lubang pori dan berpotensi untuk menyebabkan jerawat. Ini biasanya terjadi kepada individu yang bekerja atau meluangkan banyak masa di dalam persekitaran yang mempunyai kualiti udara yang tidak sihat atau sangat berhabuk.

Stres atau ketidakseimbangan hormon

Apabila badan kita mengalami stres atau ketidakseimbangan hormon, ia boleh membawa kepada penghasilan sebum yang berlebihan, sekaligus menyebabkan masalah lubang pori tersumbat dan pembentukan jerawat.

Komplikasi daripada Masalah Jerawat di Telinga

Sekiranya tidak dirawat, jerawat telinga boleh menyebabkan pelbagai komplikasi yang seterusnya dapat mengganggu kesihatan anda. Berikut adalah beberapa potensi komplikasi yang dikaitkan dengan jerawat telinga yang tidak dirawat:

  • Rasa sakit telinga yang semakin teruk dan lama
  • Pembengkakan di dalam telinga
  • Sakit rahang
  • Jangkitan dan pembentukan bisul
  • Hilang Pendengaran

Bagi kes di mana jangkitan pada jerawat di telinga menjadi semakin teruk dan tidak dirawat, ia berpotensi untuk menyebabkan kita hilang pendengaran. Jangkitan ini boleh memberi kesan kepada struktur telinga yang halus, termasuk gegendang telinga dan bahagian tengah telinga. Bantuan perubatan yang segera adalah penting untuk mengelakkan kehilangan pendengaran dalam jangka panjang.

Nota!

Beberapa tanda dan simptom biasa hilang pendengaran termasuklah:

  • Sering meminta orang lain untuk mengulangi percakapan mereka 
  • Menghadapi masalah dengan kejelasan bunyi di tempat yang sesak dan bising
  • Meninggikan tahap suara melebihi tahap normal

Jika anda sudah mula menghadapi mana-mana situasi di atas, mungkin telah tiba masanya untuk anda melakukan ujian pendengaran di mana ahli audiologi akan menentukan sama ada anda mengalami masalah hilang pendengaran dan sama ada jangkitan adalah punca kepada masalah anda.

Cara Merawat Jerawat di Telinga

Jika anda dapat merasakan jerawat muncul atau jika jerawat yang masih di peringkat awal timbul di dalam telinga anda, berikut adalah beberapa rawatan di rumah yang boleh anda cuba untuk merawatnya.

Mengunakan kaedah tuaman suam

Mampat Panas

Sekiranya jerawat muncul di bahagian luar telinga, anda boleh melakukan tuaman suam pada bahagian yang terjejas untuk membantu mengurangkan keradangan dan mempercepatkan penyembuhan. 

Ambil kain atau bebola kapas yang bersih, rendam di dalam air suam dan tuam secara perlahan pada jerawat selama 10 hingga 15 minit. Kehangatan itu akan membantu membuka lubang pori, membolehkan kotoran atau cecair yang terperangkap keluar dari pori tersebut. Ulangi langkah ini beberapa kali dalam sehari sehingga benjolan jerawat di telinga semakin mengecil.

Menggunakan krim jerawat

Krim sapu jerawat yang mengandungi benzoil peroksida atau asid salisilik boleh membantu merawat jerawat yang menjengkelkan. Ambil kain kapas yang bersih, letakkan sedikit krim jerawat dan sapukannya pada jerawat anda. 

Pastikan yang anda hanya menggunakan sedikit sahaja krim supaya ia tidak mengalir masuk ke dalam telinga kerana ia boleh menyebabkan jangkitan. Ulang langkah ini setiap hari sehinggalah jerawat tersebut hilang.

Nota!

Sekiranya jerawat pecah dan kering dengan sendiri secara semula jadi, segera bersihkan sebarang nanah atau cecair yang mengalir keluar. Anda juga perlu membasuh telinga anda menggunakan pencuci muka yang lembut untuk menghilangkan sebarang bakteria dan mengelakkan jangkitan.

Dapatkan bantuan profesional

Wanita sedang memeriksa telinganya

Sekiranya jerawat di telinga anda masih ada, menjadi semakin menyakitkan atau menunjukkan tanda-tanda jangkitan, anda dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan profesional. Doktor mungkin akan memberikan ubat sapu atau ubat makan, dan jika perlu, ahli dermatologi boleh membantu anda mengeluarkan dan mengeringkan jerawat tersebut.

Cara Menghindari Jerawat di Telinga

Mengambil langkah yang proaktif dapat mengurangkan risiko mempunyai jerawat di telinga. Dengan melaksanakan amalan berikut sebagai rutin harian, anda akan memperoleh telinga yang sihat dan meminimumkan kebarangkalian untuk mendapat jerawat di telinga:

  • Membersihkan fon telinga, alat bantuan pendengaran dan subang telinga secara kerap
  • Basuh telinga anda dan kawasan sekeliling ketika anda mandi atau membasuh muka
  • Pastikan yang rambut anda sentiasa bersih atau jauh dari muka anda sekiranya kotor
  • Elakkan air kotor dari memasuki saluran telinga

Soalan Lazim tentang Jerawat di Dalam Telinga

Patutkah saya memecahkan jerawat di dalam telinga?

Jangan! Bukan sahaja ianya sukar untuk melihat ruang saluran telinga yang sempit itu, tetapi anda juga berisiko untuk mendedahkannya kepada bakteria dan merosakkan kulit di dalam telinga anda semasa cuba memecahkan jerawat tersebut. 

Anda perlu membiarkan jerawat di telinga itu kering secara semula jadi dan melakukan proses nyahjangkitan di kawasan tersebut dengan segera. Jika jerawat itu terlalu menyakitkan atau mengganggu pendengaran anda, pergilah berjumpa ahli dermatologi yang boleh membantu anda mengeringkannya.

Berapa lamakah jerawat boleh berada di dalam telinga?

Sekiranya anda memastikan kawasan jerawat sentiasa bersih dan menggunakan rawatan di rumah seperti tuaman suam dan krim jerawat, jerawat telinga selalunya akan hilang secara sendiri dalam masa beberapa hari. 

Seandainya anda cuba juga untuk memecahkan jerawat dan menyebabkan keradangan semasa proses tersebut, anda hanya akan memburukkan lagi keadaan dan boleh menyebabkan berlakunya jangkitan.

Apakah perbezaan antara jerawat dan bisul?

Kedua-dua jerawat dan bisul biasanya kelihatan seperti benjolan merah pada kulit kita. Namun begitu, bisul biasanya lebih besar dan jerawat adalah lebih kecil. 

Lagi satu perbezaannya adalah jerawat merupakan akibat daripada lubang pori yang tersumbat manakala bisul adalah benjolan berisi nanah yang disebabkan oleh jangkitan bakteria.

Puteri Natasha ialah Pakar Audiologi Klinikal di Rakan Pendengaran. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Audiologi dengan Kepujian dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau berpengalaman dalam menjalankan ujian pendengaran untuk orang dewasa dan kanak-kanak serta penilaian elektrofisiologi. Dia juga membantu dalam pemilihan dan pemasangan alat bantu pendengaran untuk memastikan pengguna dipadankan dengan peranti yang sesuai untuk keperluan mereka.

Puteri Natasha

Pakar Audiologi Klinikal

Joanne ialah Pakar Audiologi Klinikal di Rakan Pendengaran. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Audiologi dengan Kepujian (Kecemerlangan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan berdaftar di bawah Majlis Profesional Kesihatan Bersekutu Malaysia, MAHPC(AUD)00256. Beliau berpengalaman dalam menjalankan ujian pendengaran dewasa dan kanak-kanak. Beliau juga menyediakan kaunseling, pemasangan dan penilaian alat bantu pendengaran untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

Joanne Loo

Pakar Audiologi Klinikal

Jangan tunggu! Tempah ujian pendengaran di Hearing Partners hanya dengan beberapa klik!