Jangkitan kulat dalam telinga, juga dikenali sebagai otomikosis, adalah suatu jangkitan pada saluran telinga yang disebabkan oleh kulat. Kadangkala, ia boleh disalah tafsirkan sebagai jangkitan luar telinga (otitis eksterna) kerana ia mempunyai simptom yang sama seperti rasa gatal, keluar cecair dan rasa tidak selesa. Secara umumnya, jangkitan kulat dalam telinga jarang berlaku dan tidak sekerap jangkitan bakteria pada telinga.
Artikel ini akan membincangkan secara mendalam maklumat penting tentang jangkitan kulat dalam telinga, termasuk simptom, penyebab, cara rawatan dan soalan-soalan lazim.
- Simptom Jangkitan Kulat Dalam Telinga
- Penyebab dan Faktor Risiko Jangkitan Kulat Dalam Telinga
- Bertemu Doktor untuk Masalah Jangkitan Kulat Dalam Telinga
- Rawatan untuk Jangkitan Kulat Pada Telinga
- Menghalang Jangkitan Kulat Dalam Telinga
- Menangani Masalah Jangkitan Kulat Dalam Telinga
- Soalan Lazim Berkaitan Jangkitan Kulat Pada Telinga
Simptom Jangkitan Kulat Dalam Telinga
Simptom biasa yang boleh dilihat untuk jangkitan kulat dalam telinga termasuklah:
- Rasa gatal atau iritasi dalam saluran telinga
- Keluar cecair likat berwarna kuning atau nanah
- Bahagian dalam telinga menjadi kemerahan atau membengkak
- Rasa telinga tersumbat
- Hilang pendengaran atau pendengaran tidak jelas
- Kulit menjadi mengelupas dalam saluran telinga
Penyebab dan Faktor Risiko Jangkitan Kulat Dalam Telinga
Jangkitan kulat dalam telinga biasanya terjadi disebabkan pertumbuhan berlebihan kulat seperti kulat Aspergillus dan Candida dalam saluran telinga. Sesetengah orang mungkin cenderung untuk mengalami jangkitan kulat dalam telinga berbanding orang lain disebabkan beberapa faktor berikut:
- Pendedahan air yang kerap: Pendedahan kerap pada air boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang dikenali sebagai 'otitis eksterna', di mana kelembapan berlebihan dalam saluran telinga mengurangkan fungsi perlindungan tahi telinga, Akibatnya, ia meningkatkan risiko jangkitan kulat dalam telinga.
- Diabetes: Diabetes boleh merosakkan fungsi imun dan peredaran darah, menjadikannya sukar untuk badan melawan jangkitan. Oleh itu, individu yang mengalami diabetes mempunyai risiko tinggi untuk terkena jangkitan kulat dalam telinga.
- Sistem imun badan lemah: Individu yang mengalami keadaan seperti HIV/AIDS, kanser atau mereka yang menjalani rawatan imunoterapi seperti kemoterapi mungkin sukar untuk melawan jangkitan.
- Ekzema atau dermatitis: Keadaan kulit yang menyebabkan keradangan atau iritasi dalam saluran telinga boleh melemahkan pertahanan kulit, meningkatkan risiko seseorang untuk terkena jangkitan kulat dalam telinga.
- Iklim yang lembap: Persekitaran yang hangat dan lembap cenderung untuk menyebabkan pertumbuhan kulat. Disebabkan itu, mereka yang tinggal dalam iklim tropika atau lembap lebih berisiko untuk terkena jangkitan kulat pada telinga mereka.
- Membersihkan telinga terlalu kerap: Tahi telinga berfungsi sebagai lapisan perlindungan semula jadi dalam saluran telinga. Ia mempunyai elemen anti-kulat yang membantu mengekang pertumbuhan bakteria dan kulat berbahaya. Individu yang menggunakan putik kapas atau alatan lain untuk mencuci telinga mereka mungkin menyingkirkan tahi telinga secara berlebihan, mendedahkan mereka untuk terkena jangkitan telinga.
Bertemu Doktor untuk Masalah Jangkitan Kulat Dalam Telinga

Kita biasanya akan mendapatkan bantuan perubatan untuk masalah jangkitan telinga apabila kita mula rasa tidak selesa atau keluar cecair luar biasa dari telinga kita. Antara simptom yang membuatkan kita perlu bertemu doktor termasuklah:
- Sakit telinga yang berpanjangan
- Rasa telinga tersumbat
- Keluar cecair berbau busuk
- Hilang Pendengaran
- Kegatalan atau iritasi
- Telinga menjadi merah atau bengkak
- Demam
Diagnosis jangkitan kulat dalam telinga biasanya melibatkan pemeriksaan fizikal menggunakan otoskop untuk melihat bahagian dalam saluran telinga bagi mengesan tanda-tanda jangkitan seperti kemerahan atau bengkak. Kadangkala, spora kulat boleh turut kelihatan dalam saluran telinga. Doktor juga akan mengambil kira simptom dan sejarah perubatan untuk memahami konteks keadaan anda dengan lebih baik.
Selain itu, ujian makmal juga mungkin dijalankan jika diperlukan, di mana sampel cecair telinga atau cebisan kulit akan diperiksa di bawah mikroskop atau dikultur untuk mengenal pasti jenis jangkitan dan kulat yang ditemui.
Rawatan untuk Jangkitan Kulat Pada Telinga
Merawat masalah jangkitan kulat pada telinga melibatkan pelbagai kaedah untuk membasmi jangkitan dan mengurangkan simptom. Berikut adalah perincian tentang bagaimana rawatan ini berfungsi untuk mengatasi masalah jangkitan kulat secara berkesan.
Petua!
Sepanjang tempoh rawatan terhadap jangkitan kulat dalam telinga, elakkan daripada menggaru saluran telinga atau menggunakan putik kapas kerana ia akan menerukkan lagi iritasi. Pastikan telinga kekal kering dengan mengurangkan kelembapan dan elak menggunakan alat bantuan pendengaran atau fon telinga untuk memastikan jangkitan tidak menjadi lebih teruk.
Pencucian telinga
Semasa mencuci telinga, doktor akan membersihkan habuk, cecair atau bendasing jangkitan dari saluran telinga. Proses ini biasanya melibatkan penggunakan peralatan khas seperti kuret telinga atau alat penyedut. Dengan menyingkirkan cecair telinga, ubat anti-kulat dapat berfungsi dengan lebih berkesan.
Ubat titis telinga anti-kulat
Bahan aktif yang ada dalam ubat titis telinga anti-kulat boleh membunuh sel kulat. Rawatan khusus ini membantu merawat jangkitan dan memberikan kelegaan pada simptom. Tambahan lagi, dengan merawat jangkitan tersebut secara terus, ubat titis telinga ini dapat menghalang kulat daripada merebak dan menyokong proses penyembuhan yang lebih pantas.
Ubat-ubatan
Untuk masalah jangkitan kulat yang lebih serius, ubat minum anti-kulat juga mungkin diberikan. Rawatan sistemik ini digunakan apabila kaedah topikal seperti ubat titis tidak berkesan atau jika jangkitan telah merebak melebihi saluran telinga.
Menghalang Jangkitan Kulat Dalam Telinga
Untuk menghalang jangkitan kulat pada telinga, anda boleh cuba mengamalkan perkara berikut:
- Elakkan daripada mengorek telinga anda: Biarkan mekanisma pembersihan semula jadi telinga anda mencuci tahi telinga berbanding membersihkannya sendiri. Tahi telinga yang sedikit di dalam telinga sebenarnya dapat membantu menghalang jangkitan kulat.
- Elak memasukkan objek ke dalam saluran telinga anda: Elakkan daripada memasukkan putik kapas atau sebarang objek ke dalam telinga anda, termasuklah jari anda sendiri, kerana ia mungkin tersentuh spora kulat yang mungkin tidak kelihatan oleh mata kasar.
- Pastikan telinga sentiasa kering: Elakkan air daripada memasuki saluran telinga ketika melakukan aktiviti air dengan memakai penyumbat telinga atau topi renang, terutamanya jika air tersebut tidak diselenggara dengan baik atau tidak bersih. Selain itu, keringkan telinga anda sepenuhnya selepas melakukan aktiviti air.
- Elakkan menggaru telinga anda: Berhati-hati agar tidak mencalarkan kulit di sekitar atau di dalam telinga anda.
Menangani Masalah Jangkitan Kulat Dalam Telinga
Jangkitan kulat dalam telinga biasanya bukanlah satu masalah besar tetapi ia boleh jadi kurang selesa dan tidak dapat baik dengan sendiri. Dengan memahami simptom, faktor risiko dan mengambil langkah pencegahan, anda boleh mengurus dan mengekalkan kesihatan telinga anda. Jika anda rasa anda terkena jangkitan kulat pada telinga, hubungi doktor anda supaya mereka dapat mengesahkan diagnosis dan menyarankan rawatan yang betul untuk masalah telinga anda.
Soalan Lazim Berkaitan Jangkitan Kulat Pada Telinga
Berapa lamakah masa yang diambil untuk jangkitan kulat dalam telinga sembuh?
Ia biasanya mengambil masa selama 1 hingga 2 minggu, dan dalam sesetengah kes sehingga 3 minggu, untuk simptom jangkitan kulat dalam telinga sembuh selepas rawatan dimulakan.
Apa yang akan terjadi jika saya membiarkan jangkitan kulat dalam telinga tidak dirawat?
Jika jangkitan kulat dalam telinga tidak dirawat, ia boleh menyebabkan rasa tidak selesa yang berpanjangan, seperti rasa gatal dan sakit, keluar cecair serta akan hilang pendengaran buat sementara waktu.
Untuk kes yang sangat teruk, jangkitan telinga yang tidak dirawat mungkin akan merebak ke tulang temporal tengkorak atau menyebabkan radang yang berpanjangan pada tisu berhampiran. Ini mungkin akan membawa kepada komplikasi yang lebih serius seperti meningitis, mastoiditis dan osteomielitis kulat dan hilang pendengaran yang kekal.
Puteri Natasha ialah Pakar Audiologi Klinikal di Rakan Pendengaran. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Audiologi dengan Kepujian dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau berpengalaman dalam menjalankan ujian pendengaran untuk orang dewasa dan kanak-kanak serta penilaian elektrofisiologi. Dia juga membantu dalam pemilihan dan pemasangan alat bantu pendengaran untuk memastikan pengguna dipadankan dengan peranti yang sesuai untuk keperluan mereka.

