Artikel oleh Hearing Partners, Disumbangkan oleh Joanne Loo, Audiologis Klinikal Kanan di Hearing Partners
Otak kita bergantung pada input daripada kedua-dua belah telinga untuk mengesan bunyi, menapis bunyi bising dari persekitaran dan memahami pertuturan dengan lebih jelas. Apabila kehilangan pendengaran berlaku hanya pada sebelah telinga, iaitu satu keadaan yang dikenali sebagai kehilangan pendengaran sebelah atau telinga pekak sebelah, tugas harian mendengar boleh jadi lebih mencabar secara tiba-tiba.
Walaupun mendengar dengan satu telinga kedengaran seperti sudah mencukupi, mereka yang mengalami masalah hilang pendengaran sebelah telinga masih berasa sukar untuk mengetahui dari mana datangnya bunyi atau susah untuk mengikuti perbualan dalam suasana yang bising seperti di restoran, pejabat atau di jalan yang sibuk. Ini boleh menimbulkan kekecewaan, rasa lesu akibat terlalu berusaha mendengar atau kurang peka dengan situasi sekeliling.
Artikel ini akan meneroka sebab-sebab berlakunya kehilangan pendengaran sebelah telinga dan proses diagnosis serta kaedah rawatannya. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut.
Perkara Penting Untuk Difahami
- Kehilangan pendengaran sebelah merujuk kepada situasi telinga pekak sebelah sahaja sementara telinga yang sebelah lagi masih mengekalkan tahap pendengaran normal atau hampir normal.
- Pengumpulan tahi telinga, pendedahan kepada bunyi kuat, trauma fizikal, genetik, jangkitan dan keadaan perubatan serta ketumbuhan boleh menyebabkan kehilangan pendengaran sebelah atau pekak pada sebelah telinga.
- Diagnosis kehilangan pendengaran pada sebelah telinga dilakukan melalui pemeriksaan telinga secara fizikal dan ujian pendengaran. Ujian pengimejan juga mungkin dilaksanakan sekiranya perlu.
- Kehilangan pendengaran sebelah telinga boleh ditangani dengan melakukan pencucian telinga, pemakaian alat bantuan pendengaran CROS, ubat-ubatan dan Alat Bantuan Pendengaran Berlabuh Tulang (implan BAHA).
- Apakah itu Kehilangan Pendengaran Sebelah?
- Apakah Punca Kehilangan Pendengaran Sebelah dan Telinga Pekak Sebelah?
- Bagaimanakah Diagnosis Kehilangan Pendengaran Sebelah dan Telinga Pekak Sebelah Dilakukan?
- Bagaimanakah Kehilangan Pendengaran Sebelah dan Pekak Pada Sebelah Telinga Dirawat?
- Soalan Lazim Mengenai Kehilangan Pendengaran Sebelah dan Pekak Pada Sebelah Telinga
Apakah itu Kehilangan Pendengaran Sebelah?
Kehilangan pendengaran sebelah berlaku apabila sebelah telinga hilang fungsi mendengar manakala sebelah lagi mengekalkan fungsi normal. Keadaan ini dikenali sebagai hilang pendengaran pada sebelah telinga untuk kes sederhana dan teruk, dan pekak sebelah telinga untuk kes yang sangat teruk. Ia boleh melarat sama ada secara tiba-tiba atau beransur-ansur.
Oleh kerana keadaan ini hanya menjejaskan sebelah telinga, kadangkala ia mungkin tidak dapat dikesan pada mulanya, terutamanya ketika berada di persekitaran yang senyap di mana mendengar dengan sebelah telinga sudah mencukupi. Namun begitu, mereka yang mengalami masalah telinga pekak sebelah akan lambat-laun perasan beberapa cabaran mendengar dalam kehidupan seharian mereka.
Sebagai contoh, mereka mungkin sukar untuk mengesan punca bunyi, mengikuti perbualan dalam persekitaran yang bising seperti di restoran atau mendengar seseorang yang bercakap di bahagian telinga yang terjejas. Anda mungkin akan perasan yang anda perlu memusingkan kepala ke arah telinga yang lebih baik untuk mendengar dengan lebih baik atau meminta mereka mengulangi percakapan mereka dengan lebih kerap.
Apakah Punca Kehilangan Pendengaran Sebelah dan Telinga Pekak Sebelah?
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada masalah kehilangan pendengaran atau pekak pada sebelah telinga. Antaranya seperti isu kesihatan dan pengaruh persekitaran. Dalam bahagian ini, kita akan menerokai punca-punca kepada masalah kehilangan pendengaran sebelah.
Pengumpulan Tahi Telinga
Pengumpulan tahi telinga boleh berlaku disebabkan oleh faktor seperti pembentukan tahi telinga yang berlebihan, cara pencucian telinga yang tidak betul atau saluran telinga yang sempit. Apabila tahi telinga terkumpul pada sebelah telinga, ia boleh menyebabkan telinga tersumbat, yang membawa kepada kehilangan pendengaran sementara.
Pendedahan kepada bunyi bising
Kehilangan pendengaran yang disebabkan oleh bunyi bising boleh terjadi disebabkan pendedahan kepada bunyi yang sangat kuat. Pendedahan kepada bunyi yang hingar atau pendedahan berpanjangan kepada tahap bunyi bising yang semakin lantang pada sebelah telinga boleh merosakkan sel rambut di dalam telinga. Ini boleh menyebabkan penyusutan pada kemampuan mendengar di bahagian telinga yang terjejas.
Trauma fizikal
Trauma fizikal di bahagian kepala atau telinga boleh terjadi akibat daripada kemalangan atau kecederaan sukan. Jenis kecederaan ini boleh merosakkan struktur halus atau saraf di sebelah telinga yang mengakibatkan kehilangan pendengaran sebelah.
Genetik/Keturunan
Walaupun faktor genetik biasanya menyumbang kepada masalah pendengaran dua belah telinga, faktor keturunan tertentu masih boleh mengakibatkan hilang pendengaran sebelah telinga. Jangkitan sitomegalovirus kongenital (CMV), kecacatan telinga dalam secara keturunan dan kekurangan saraf koklea juga masih boleh mengakibatkan kehilangan pendengaran sisi.
Jangkitan dan keadaan perubatan
Jangkitan seperti meningitis atau jangkitan telinga yang berulang boleh menyebabkan kita hilang pendengaran di mana ia merosakkan struktur telinga. Sama juga seperti keadaan perubatan seperti penyakit Ménière boleh memberi kesan kepada bahagian telinga dalam, yang menimbulkan simptom seperti vertigo dan seterusnya hilang pendengaran.
Ketumbuhan
Ketumbuhan, seperti neuroma akustik, yang timbul berhampiran telinga atau saraf auditori boleh menyebabkan berlakunya telinga pekak sebelah. Ketumbuhan tidak berbahaya ini menekan saraf auditori, merosakkan fungsinya dan mengurangkan kemampuan mendengar di bahagian telinga yang terjejas.
Bagaimanakah Diagnosis Kehilangan Pendengaran Sebelah dan Telinga Pekak Sebelah Dilakukan?

Diagnosis hilang pendengaran atau pekak pada sebelah telinga biasanya dimulakan dengan pemeriksaan fizikal pada telinga, diikuti dengan ujian pendengaran. Ujian-ujian ini dapat membantu menentukan jenis dan tahap keterukan kehilangan pendengaran dengan mengenal pasti berapa bagus anda dapat mendengar bunyi dan frekuensi yang berbeza.
Audiologis atau pakar penjagaan pendengaran anda akan mengesyorkan ujian khusus berdasarkan keadaan anda. Untuk sesetengah kes, ujian pengimejan juga mungkin akan disarankan untuk memberikan pemahaman lebih jelas tentang sebarang kerosakan pada struktur telinga.
Kawal kesihatan pendengaran anda hari ini!
Pengesanan awal adalah kunci kepada mengekalkan pendengaran anda. Jika anda rasa yang anda mungkin mengalami hilang pendengaran, buat janji temu untuk ujian pendengaran sekarang.
Bagaimanakah Kehilangan Pendengaran Sebelah dan Pekak Pada Sebelah Telinga Dirawat?
Bergantung pada punca di sebaliknya dan tahap keterukannya, audiologis atau pakar penjagaan pendengaran profesional anda mungkin akan menyarankan kaedah rawatan yang berbeza. Dalam bahagian ini, kita akan berbincang tentang pilihan rawatan yang biasa dilakukan, termasuklah pemakaian alat bantuan pendengaran dan ubat-ubatan untuk membantu mengawal masalah kehilangan pendengaran sebelah dan telinga pekak sebelah.
Alat Bantuan Pendengaran CROS

Alat bantuan pendengaran CROS berbeza dengan alat bantuan pendengaran yang biasa kerana ia direka secara khusus untuk individu yang mengalami kehilangan pendengaran pada sebelah telinga sahaja.
Sistem CROS mempunyai dua komponen utama: mikrofon yang menangkap bunyi dari telinga yang pekak dan pemancar yang menghantar bunyi-bunyi ini secara wireless ke alat bantuan pendengaran pada telinga yang boleh mendengar dengan baik. Alat bantuan pendengaran ini akan meningkatkan bunyi dari bahagian yang pekak, membolehkan si pemakai mendengar melalui telinga mereka yang berfungsi. Kaedah ini membantu individu yang mengalami masalah telinga pekak sebelah untuk kekal berinteraksi dengan persekitaran mereka.
Pencucian telinga
Sekiranya masalah hilang pendengaran berpunca daripada pengumpulan tahi telinga, mencuci tahi telinga mungkin dapat membantu mengembalikan fungsi pendengaran. Ia perlu dilakukan oleh pakar ENT yang terlatih dengan prosedur pencucian yang betul. Elakkan daripada mencuci tahi telinga sendiri di rumah atau menggunakan kaedah seperti terapi lilin telinga kerana ia boleh jadi berbahaya dan merosakkan telinga anda.
Ubat-ubatan
Jika jangkitan telinga menjadi punca kepada masalah hilang pendengaran, doktor anda mungkin akan memberikan ubat-ubatan untuk merawatnya. Sebaik sahaja sembuh, pendengaran anda akan kembali normal.
Alat bantuan pendengaran berlabuh tulang
Alat Bantuan Pendengaran Berlabuh Tulang (implan BAHA), yang berfungsi dengan merangsang telinga dalam secara terus, memintas kedua-dua bahagian telinga luar dan tengah. Ia terdiri daripada implan titanium kecil dan pemproses bunyi luaran yang diletakkan pada tengkorak melalui kaedah pembedahan. Pemproses bunyi tersebut akan menangkap bunyi di persekitaran dan menukarnya kepada vibrasi sebelum menghantarnya terus ke implan. Proses in membantu mengatasi masalah hilang pendengaran yang disebabkan oleh kerosakan pada struktur telinga tengah atau telinga luar, seterusnya meningkatkan kemampuan mendengar.
Anda perlu tahu yang ini adalah prosedur yang invasif dan memerlukan pembedahan. Selain itu, prosedur ini bukanlah satu pilihan rawatan yang sesuai untuk semua orang. Penilaian daripada kedua-dua pakar ENT dan audiologis diperlukan untuk menentukan kesesuaian anda.
Soalan Lazim Mengenai Kehilangan Pendengaran Sebelah dan Pekak Pada Sebelah Telinga
Siapakah yang berisiko mengalami kehilangan pendengaran sebelah telinga?
Kehilangan pendengaran sebelah telinga boleh berlaku kepada individu daripada pelbagai peringkat umur dan gaya hidup, namun terdapat beberapa kumpulan yang berisiko lebih tinggi.
Ini termasuk:
- Golongan profesional yang bekerja dalam persekitaran bising (contohnya pembinaan, pembuatan, atau persekitaran yang kerap terdedah kepada bunyi kuat), di mana pendedahan berpanjangan boleh merosakkan pendengaran pada satu telinga.Terutamanya jika alat perlindungan pendengaran tidak digunakan.
- Pengguna earphone atau fon kepala yang kerap, terutamanya pada tahap bunyi yang tinggi atau apabila lebih banyak menggunakan sebelah telinga.
- Warga emas, kerana perubahan pendengaran berkaitan usia kadangkala boleh menjejaskan satu telinga terlebih dahulu.
- Individu dengan sejarah jangkitan telinga, kecederaan, atau keadaan perubatan tertentu, yang boleh menjejaskan telinga atau saraf pendengaran.
Sekiranya anda tergolong dalam mana-mana kumpulan ini dan mula mengalami perubahan pendengaran, seperti kesukaran mengenal pasti arah bunyi atau memahami perbualan dalam persekitaran bising, anda disarankan untuk menjalani pemeriksaan pendengaran seawal mungkin.
Kenapa saya hilang pendengaran sebelah telinga secara tiba-tiba?
Hilang pendengaran secara tiba-tiba atau hilang pendengaran sensorineural tiba-tiba (SSNHL) terjadi apabila kemampuan mendengar berkurangan dengan pantas dalam tempoh masa yang singkat, kadangkala dalam masa beberapa jam atau beberapa hari. Dalam kebanyakan kes, punca sebenarnya tidak diketahui, tetapi ia mungkin berkaitan dengan masalah yang menjejaskan telinga dalam atau saraf auditori.
Antara pencetus yang mungkin termasuklah jangkitan virus, pengurangan aliran darah ke telinga dalam, kerengsaan, keadaan autoimun atau trauma kepala. Dalam kes yang jarang berlaku, ketumbuhan seperti neuroma akustik atau pengambilan sesetengah ubat yang mengganggu pendengaran juga mungkin menjadi penyebabnya.
Bagaimanakah hilang pendengaran sebelahdan kepekakan pada sebelah telinga menjejaskan kesejahteraan anda?
Kesan kehilangan pendengaran pada sebelah telinga boleh jadi sangat berbeza untuk setiap individu, di mana ia bergantung pada tahap keterukan keadaan tersebut. Berikut adalah bagaimana ia boleh menjejaskan kesihatan pendengaran anda:
- Penyetempatan bunyi: Kesukaran untuk mencari sumber bunyi boleh mengganggu kepekaan ruang anda, menjadikannya sukar untuk anda mengorientasikan diri.
- Pemahaman pertuturan dalam persekitaran yang bising: Perbualan berhampiran telinga yang mengalami hilang pendengaran mungkin sukar untuk difahami, terutamanya dengan bunyi latar belakang yang datang dari arah telinga dengan pendengaran yang lebih baik.
- Kelantangan bunyi: Bunyi akan kedengaran lebih perlahan daripada yang sebenar disebabkan oleh kekurangan kemampuan mendengar di sebelah telinga.
- Kelesuan mendengar: Ketegangan pada otak anda yang disebabkan oleh hilang pendengaran boleh membawa kepada kelesuan mendengar dan membuatkan anda berasa penat ketika berbual.
- Pengasingan sosial: Cabaran mendengar juga membuatkan anda enggan menyertai pertemuan sosial yang membawa kepada pengasingan. Selanjutnya, kekurangan stimulasi kognitif juga boleh meningkatkan risiko terjatuh dan dementia.
Bolehkah kehilangan pendengaran sebelah atau pekak pada sebelah telinga dielakkan?
Walaupun masalah telinga pekak sebelah tidak dapat dielakkan sepenuhnya kerana faktor genetik, terdapat beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mengurangkan risiko tersebut. Antara tabiat bagus yang boleh anda amalkan adalah:
- Kurangkan pendedahan kepada bunyi kuat: Hadkan diri anda daripada terdedah kepada bunyi yang kuat dan gunakan alat perlindungan pendengaran dalam persekitaran yang bising untuk melindungi pendengaran anda.
- Elakkan pengumpulan tahi telinga: Amalkan penjagaan kebersihan telinga yang selamat dengan membuang tahi telinga menggunakan ubat titis telinga sahaja. Elakkan mengguna pencungkil telinga dan dapatkan bantuan profesional untuk mencuci telinga sekiranya perlu.
- Hindari jangkitan telinga: Kekalkan kesihatan telinga yang baik dengan mendapatkan rawatan segera sekiranya berlaku sebarang jangkitan telinga.
Ujian pendengaran secara berkala adalah penting bagi mengenal pasti sebarang masalah secara awal. Pengesanan segera membolehkan kita terus mendapatkan rawatan dan membantu menghalang sebarang kemerosotan pada pendengaran anda. Buat janji temu anda hari ini juga!
Joanne ialah Pakar Audiologi Klinikal di Rakan Pendengaran. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Audiologi dengan Kepujian (Kecemerlangan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan berdaftar di bawah Majlis Profesional Kesihatan Bersekutu Malaysia, MAHPC(AUD)00256. Beliau berpengalaman dalam menjalankan ujian pendengaran dewasa dan kanak-kanak. Beliau juga menyediakan kaunseling, pemasangan dan penilaian alat bantu pendengaran untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

