Vertigo dan Pening Kepala: Penerangan Punca dan Cara Rawatan

18 Nov 2025

Artikel oleh Hearing Partners, disumbangkan oleh Aiman Fikri, Audiologis Klinikal di Hearing Partners

Pening kepala adalah salah satu punca yang biasanya menyebabkan seseorang individu itu pergi menemui doktor. Ia boleh menyebabkan anda rasa pening, tidak stabil atau persekitaran anda seolah-olah sedang berputar. Walaupun pening kepala itu sendiri bukanlah sejenis penyakit, ia boleh menjadi simptom kepada pelbagai masalah kesihatan yang lain. Ia melibatkan masalah yang ringan seperti dehidrasi sehinggalah keadaan yang lebih rumit seperti Benign Paroxysmal Positional Vertigol (BPPV) atau Ménière Disease.

Dalam artikel ini, kita akan melihat lebih mendalam tentang punca pening kepala dan vertigo serta simptom-simptomnya, sambil memfokuskan bagaimana gangguan telinga dan keseimbangan badan boleh memberi kesan kepada kehidupan seharian anda. Kita juga akan membincangkan tentang bila anda patut mendapatkan nasihat doktor dan apakah langkah-langkah yang dapat membantu anda mengurus dan mengurangkan berlakunya siri kejadian vertigo.

Apakah Punca Pening Kepala dan Vertigo?

Vertigo dan pening kepala biasanya bermula daripada sistem vestibular, satu bahagian dalam telinga yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keseimbangan dan orientasi ruang. Namun begitu, ia juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor neurologi, kardiovaskular atau metabolik.

Masalah Dalam Telinga dan Keseimbangan

Bahagian dalam telinga memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan badan. Apabila struktur atau sarafnya terganggu, ia akan menyebabkan berlakunya sensasi berputar (vertigo) atau tidak seimbang. Punca-punca biasa vestibular termasuklah:

  • Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV): BPPV biasanya disebabkan oleh kristal kalsium (otolit) yang tercabut di dalam salur separuh lingkar di mana ia menganggu pergerakan cecair dan menghantar isyarat yang salah ke otak. Pencetus kepada gejala ini termasuklah berbaring, memusingkan badan ketika berbaring atau mendongakkan kepala secara tiba-tiba.
  • Labirintitis atau Neuritis Vestibular: Ia biasanya berlaku disebabkan oleh jangkitan virus. Keradangan di dalam telinga atau saraf vestibular boleh menyebabkan berlakunya vertigo secara tiba-tiba atau serius.
  • Ménière Disease: Keadaan kronik yang dikaitkan dengan pengumpulan cecair di dalam telinga, penyakit Ménière boleh menyebabkan berlakunya siri vertigo, hilang pendengaran, tinitus dan telinga rasa tersumbat.
  • Migrain Vestibular: Sesetengah individu mengalami episod vertigo yang dikaitkan dengan masalah migrain, walaupun tanpa rasa sakit kepala.

Keadaan ini biasanya boleh dirawat dengan fisioterapi vestibular, corak pergerakan kepala yang tertentu dan ubat yang dipreskripsikan oleh doktor pakar Telinga, Hidung atau Tekak (ENT).

Punca Neurologi dan Berkaitan Otak

Walaupun ia jarang berlaku, pening kepala boleh terjadi akibat gangguan dalam serebelum atau batang otak yang menyelaraskan pergerakan dan keseimbangan badan. Masalah kesihatan seperti strok, pelbagai sklerosis atau migrain vestibular boleh menyebabkan berlakunya vertigo dan rasa tidak stabil. Sekiranya pening kepala itu disertai dengan penglihatan berganda, rasa lemah atau kebas, anda perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Masalah Kardiovaskular dan Aliran Darah

Kadangkala, pening kepala dikaitkan dengan pengurangan aliran darah ke otak yang boleh mengakibatkan rasa pening atau pitam. Ritma jantung yang tidak stabil, tekanan darah rendah atau dehidrasi mungkin mengehadkan bekalan oksigen ke otak dan menyebabkan ketidakseimbangan atau rasa lemah sementara. Jika pening kepala anda semakin serius apabila berdiri, ia mungkin menunjukkan hipotensi ortostatik, iaitu penurunan tekanan darah secara tiba-tiba yang memerlukan penilaian perubatan dengan segera.

Gangguan Metabolik dan Darah

Perubahan pada paras oksigen atau gula dalam darah juga boleh mengganggu keseimbangan dan menjadi punca pening kepala. Contohnya, anemia akan mengurangkan penghantaran oksigen ke otak manakala paras gula dalam darah yang rendah atau turun naik hormon boleh menyebabkan pitam atau menimbulkan sensasi tidak stabil.

Faktor Psikologi dan Gaya Hidup

Tekanan emosi, kebimbangan dan serangan panik boleh mencetuskan atau memperburukkan rasa pening kepala, terutamanya di tempat sesak atau persekitaran yang penuh tekanan. Apabila pening kepala menjadi kronik, seseorang itu mungkin akan mula mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti harian seperti memandu, bersosial atau keluar rumah disebabkan risau akan diserang vertigo. Dalam kes ini, kaunseling atau terapi boleh membantu menguruskan simptom tersebut dan meningkatkan keseluruhan kesejahteraan diri.

Apakah Simptom-Simptom Biasa Vertigo?

wanita berasa pening

Simptom vertigo boleh jadi berbeza bergantung pada punca-puncanya, namun ia boleh melibatkan:

  • Sensasi berputar atau senget
  • Lenggok jalan yang kurang stabil atau hilang keseimbangan
  • Rasa loya atau muntah-muntah
  • Penglihatan kabur atau berganda
  • Bunyi berdesing di dalam telinga (tinitus) atau hilang pendengaran
  • Berpeluh atau denyutan jantung yang laju

Kejadian ini mungkin berterusan selama beberapa saat atau jam dan biasanya dicetuskan oleh pergerakan kepala atau perubahan posisi.

Siapakah Yang Berisiko Mengalami Vertigo dan Pening Kepala?

Sesetengah golongan lebih cenderung untuk mengalami vertigo atau gangguan pada keseimbangan:

  • Wanita: Golongan wanita lebih cenderung untuk mengalaminya, terutamanya sewaktu fasa turun naik hormon seperti mengandung atau putus haid.
  • Warga emas: Orang dewasa yang berumur 70 tahun dan ke atas mempunyai risiko yang lebih tinggi disebabkan oleh perubahan faktor umur di dalam telinga dan pengurangan fungsi saraf, di mana ia boleh memberi kesan kepada keseimbangan.
  • Kanak-kanak dan remaja: Anak kecil mungkin mengalami pening kepala disebabkan kecederaan pada kepala atau daripada keadaan neurologi yang diwarisi seperti ataksia episodik, di mana ia memberi kesan kepada kawalan koordinasi dan pergerakan.

Bila Perlu Bertemu Doktor untuk Masalah Pening Kepala dan Vertigo

Konsultasi doktor untuk pening dan vertigo

Walaupun masalah pening kepala biasanya tidak berbahaya, rawatan perubatan menjadi penting sekiranya ia:

  • Disertai dengan penglihatan kabur, rasa lemah badan atau hilang pendengaran
  • Dicetuskan oleh pergerakan dan ianya berterusan lebih daripada beberapa saat
  • Berkaitan dengan sakit dada, pitam atau rasa keliru

Konsultasi awal dengan doktor pakar ENT, audiologis atau neurologis dapat membantu menentukan sama ada ianya berpunca daripada telinga, otak atau sistem kardiovaskular.

Ambil Ujian Diagnostik Pening Kepala dan Keseimbangan Hari Ini Juga!

Jika siri kejadian pening kepala atau vertigo memberi kesan kepada kehidupan seharian anda, buat janji temu untuk mengambil ujian diagnostik dan ketahui puncanya serta pilihan pengurusan yang ada.

Apakah Rawatan untuk Pening Kepala dan Vertigo?

Untuk mengetahui mana satu rawatan yang sesuai diambil, anda perlu mengetahui terlebih dahulu punca di sebalik pening kepala atau vertigo yang anda alami. Menguruskan sebab utama anda mengalami pening kepala selalunya dapat membantu anda mengembalikan keseimbangan badan dan mengurangkan simptom yang dialami.

  • Untuk BPPV: Pergerakan kepala tertentu seperti teknik Epley Maneuver boleh membantu memperbetulkan kedudukan kristal kalsium yang tertanggal di dalam telinga.
  • Untuk masalah vertigo yang disebabkan oleh keradangan di dalam telinga: Ubat-ubatan atau terapi rehabilitasi vestibular (VRT) boleh membantu mengurangkan simptom dan melatih semula sistem keseimbangan anda.
  • Untuk pening kepala atau masalah ketidakseimbangan yang kronik: Fisioterapi boleh membantu otak anda menyesuaikan dengan isyarat keseimbangan yang telah berubah melalui panduan latihan dan latihan kawalan postur.

Nota:

Anda perlu sentiasa mengambil ubat-ubatan vertigo di bawah penyeliaan doktor. Penggunaan jangka panjang ubat-ubatan vertigo tanpa sebarang pemantauan boleh menyebabkan organ vestibular menjadi kurang responsif dan mengakibatkan masalah keseimbangan yang berpanjangan.

Bagaimanakah Saya Boleh Mengelakkan Pening Kepala dan Vertigo?

Wanita duduk berasa pening

Pening kepala dan vertigo tidak boleh dielakkan sepenuhnya kerana ia mungkin berpunca daripada bahagian dalam telinga atau keadaan neurologi. Namun begitu, anda masih boleh mengurangkan risiko, kekerapan dan tahap keterukannya dengan:

  • Kekal hidrasi dan kerap mengambil makanan seimbang
  • Mendapatkan rehat yang mencukupi dan mengekalkan rutin senaman yang berkala
  • Menguruskan stres melalui teknik relaksasi dan kesedaran minda
  • Mengehadkan pengambil kafein, alkohol atau bahan yang boleh mencetuskan pening kepala
  • Melindungi kepala dan tengkuk anda daripada kecederaan
  • Membetulkan masalah penglihatan yang boleh menganggu keseimbangan

Soalan Lazim tentang Punca Pening Kepala dan Vertigo

Apakah yang menyebabkan pening kepala apabila saya menyengetkan kepala saya ke kiri?

Pening kepala atau rasa pening apabila anda menyengetkan kepala anda ke satu arah, terutamanya ke arah kiri, biasanya disebabkan oleh masalah kesihatan dalam telinga seperti Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV). Sekiranya pening kepala itu sering terjadi apabila anda menyengetkan atau memusingkan kepala anda ke arah kiri, ia mungkin menunjukkan yang telinga kiri anda bermasalah. Episod kejadian ini biasanya singkat dan dicetuskan oleh perubahan posisi, contohnya apabila anda mendongakkan kepala, berbaring atau memusingkan badan ketika berbaring.

Apakah yang menyebabkan pening kepala berpanjangan?

Masalah pening kepala biasanya tidak serius tetapi ia boleh meresahkan dan menganggu kehidupan seharian kita. Dalam kebanyakan kes, simptom ini akan berhenti dengan sendiri. Namun begitu, pening kepala yang berpanjangan biasanya menunjukkan terdapat masalah di dalam telinga atau berlakunya gangguan keseimbangan.

Salah satu punca pening kepala ialah BPPV. Ia terjadi apabila kristal kalsium kecil yang terdapat di dalam telinga tertanggal daripada kedudukannya, seterusnya menimbulkan sensasi berputar yang kuat dan singkat ketika anda memusingkan kepala atau bangun daripada duduk. BPPV sering terjadi disebabkan faktor usia atau selepas berlakunya kecederaan kepala.

Neuronitis vestibular atau labirintitis juga boleh mengakibatkan vertigo yang teruk dan berlaku secara tiba-tiba di mana ia boleh berterusan selama beberapa hari. Ia biasanya diikuti oleh rasa loya dan muntah. Ini biasanya terjadi akibat daripada radang di dalam telinga yang mungkin juga disebabkan oleh jangkitan virus.

Lagi satu punca pening kepala ialah Meniere Disease, satu keadaan yang dikaitkan dengan pengumpulan cecair di dalam telinga. Ia boleh mencetuskan siri kejadian vertigo selama 20 minit atau lebih, bersama dengan bunyi berdesing di dalam telinga, hilang pendengaran dan telinga tersumbat.

Akhir sekali, migrain vestibular juga boleh menyebabkan pening kepala yang berpanjangan selama beberapa minit hingga beberapa hari, dengan atau tanpa sakit kepala. Antara pencetusnya termasuklah pergerakan kepala yang pantas, cahaya terang atau stres. Sesetengah individu juga turut mengalami tinitus atau rasa tidak stabil semasa kejadian tersebut.

Bolehkah vertigo sembuh sepenuhnya?

Malangnya, tiada jaminan yang vertigo boleh sembuh sepenuhnya. Sesetengah individu mungkin mengalami vertigo sekali sahaja, manakala yang lain mungkin akan mengalami episod yang berulang bergantung pada sebab di sebaliknya atau tahap keseluruhan kesihatan vestibular individu tersebut.

Aiman Fikri ialah Pakar Audiologi Klinikal di Rakan Pendengaran. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Audiologi dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau berpengalaman dalam menjalankan ujian pendengaran dewasa dan kanak-kanak. Selain itu, beliau menjalankan penilaian elektrofisiologi dan pemulihan aural untuk pelanggan.

Aiman Fikri

Pakar Audiologi Klinikal

Jangan tunggu! Tempah ujian pendengaran di Hearing Partners hanya dengan beberapa klik!