Serangga Masuk dalam Telinga: Simptom dan Cara Menanganinya

2 Jun 2025

Artikel oleh Hearing Partners, disumbangkan oleh Puteri Natasha, Audiologis di Hearing Partners

Mengalami masalah serangga masuk dalam telinga boleh jadi sesuatu yang menyukarkan, tetapi tidak seperti yang anda sangka, ia sememangnya biasa terjadi, terutamanya sewaktu melakukan aktiviti luar seperti berkhemah. Ia juga boleh berlaku di dalam rumah apabila semut masuk telinga anda ketika anda sedang tidur ataubaring. Selepas serangga masuk ke dalam telinga, ia mungkin akan terperangkap, menyebabkan rasa tidak selesa dan memberikan kecederaan pada saluran telinga anda.

Mengetahui cara yang betul untuk menanganinya dengan tenang adalah penting kerana situasi ini boleh menyebabkan bunyi berdesing di dalam telinga anda, rasa sakit dan berdarah. Dalam kes yang lebih serius, ia boleh menyebabkan gegendang telinga pecah dan berisiko untuk menyebabkan berlakunya kehilangan pendengaran. 

Dalam artikel ini, mari kita mengetahui jenis-jenis serangga yang cenderung untuk masuk ke dalam telinga anda, simptom yang perlu diperhatikan dan beberapa kaedah selamat untuk mengeluarkan serangga tersebut dan diharapkan perkongsian ini dapat membantu anda menangani situasi sebegini. Kita juga akan membincangkan cara untuk menghalang semut masuk telinga anda dan beberapa soalan lazim tentang topik ini.

Serangga Yang Mungkin Akan Masuk Telinga Anda

Sesetengah serangga mungkin akan termasuk ke dalam saluran telinga anda untuk mencari tempat yang hangat atau lembap dan boleh terperangkap di dalamnya. Berikut adalah beberapa contoh serangga tersebut:

  • Semut: Kecil dan biasanya tertarik pada kelembapan, masalah semut masuk telinga boleh terjadi dengan mudah terutamanya ketika anda tidur atau sedang berkhemah di luar.
  • Lalat: Tertarik pada kelembapan dan kehangatan, lalat boleh terbang masuk ke dalam saluran telinga anda secara tidak sengaja.
  • Lipas: Serangga ini biasanya ditemui di dalam rumah dan boleh masuk ke dalam telinga ketika anda tidur.
  • Labah-labah: Labah-labah mungkin termasuk ke dalam telinga anda ketika mencari tempat yang terlindung dan gelap untuk bersalin kulit.
  • Rama-rama: Rama-rama boleh termasuk ke dalam telinga secara tidak sengaja ketika mencari tempat yang gelap untuk berehat.
  • Nyamuk: Tertarik pada kelembapan dan bau kulit manusia, nyamuk juga kadangkala boleh terbang masuk ke dalam telinga.
  • Pepijat tilam: Walaupun jarang berlaku, pepijat tilam mungkin akan merayap masuk ke dalam telinga anda, terutamanya di persekitaran yang dijangkitinya.

Simptom Sekiranya Serangga Masuk Dalam Telinga Anda

Wanita menggaru telinga

Jika serangga masuk ke dalam telinga anda, anda mungkin akan mengalami beberapa simptom. Mengenal pasti tanda-tanda ini akan membantu anda bertindak dengan betul dan cepat. Untuk orang dewasa, perhatikan simptom seperti berikut:

  • Rasa tidak selesa atau sakit telinga secara tiba-tiba
  • Iritasi dalam saluran telinga yang berlaku secara tiba-tiba
  • Rasa gatal atau rasa seperti ada benda bergerak dalam telinga
  • Saluran telinga bengkak
  • Bunyi berdesing atau bergetar
  • Pendengaran hilang atau tidak jelas yang bersifat sementara
  • Keluar sesuatu dari telinga (contohnya darah atau cecair jernih)

Anak kecil mungkin tidak dapat mengetahui yang ada serangga telah masuk ke dalam telinga mereka, jadi perhatikan tanda-tanda seperti mereka menggosok atau menggaru telinga dan sama ada kanak-kanak itu meragam disebabkan rasa sakit. Ini boleh menjadi tanda yang ada serangga telah merayap masuk ke dalam telinga mereka. Jika tidak pasti, berjumpa dengan doktor berhampiran anda untuk mendapatkan diagnosis profesional.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Serangga Masuk Dalam Telinga

Jika anda rasa ada semut masuk telinga anda, perkara yang paling penting untuk dilakukan adalah kekal tenang. Bertindak secara panik boleh membawa kepada pergerakan atau tindakan secara tiba-tiba yang boleh menolak serangga masuk lebih jauh ke dalam telinga atau menyebabkan kecederaan. Bahagian berikut akan membincangkan beberapa rawatan di rumah dan tindakan yang boleh diambil sekiranya anda merasakan yang ada serangga di dalam telinga anda.

Sengetkan dan goncangkan telinga anda secara perlahan

Sengetkan kepala anda ke bawah di bahagian telinga yang ada serangga dan goncang secara perlahan untuk cuba mengeluarkan serangga tersebut. Ini sepatutnya menjadi tindakan yang pertama kerana ia adalah cara yang paling kurang invasif dan mungkin berkesan untuk mengeluarkan serangga dari telinga anda tanpa menimbulkan sebarang kecederaan.

Suluh lampu dari luar telinga anda

Sekiranya cara menyengetkan dan mengoncangkan telinga anda tidak berkesan, cuba untuk menyuluhkan lampu dari luar telinga anda di dalam bilik yang gelap untuk menarik serangga tersebut keluar dari telinga anda. Ada sesetengah serangga (contohnya lalat dan rama-rama) yang menggunakan cahaya sebagai orientasi pergerakan dan mungkin akan bergerak ke arah sumber cahaya.

Titiskan sedikit minyak ke dalam saluran telinga anda

Memasukkan minyak zaitun ke dalam saluran telinga

Dengan menitiskan sedikit ubat titis telinga yang boleh dibeli di kaunter farmasi atau sedikit minyak sayur ke dalam saluran telinga anda, ini biasanya boleh membunuh serangga tersebut. Selepas serangga mati, titiskan air suam ke dalam telinga menggunakan picagari dan sengetkan kepala anda ke bawah di bahagian yang berkenaan untuk membolehkan air dan serangga mengalir keluar dari telinga anda.

Jika anda mempunyai sejarah lampau melibatkan gegendang telinga pecah, pembedahan telinga atau kanser telinga, elakkan kaedah ini kerana ia boleh menimbulkan komplikasi.

Gunakan air suam untuk membersihkan saluran telinga anda

Dengan menggunakan picagari, bersihkan telinga anda secara perlahan dengan air suam. Selepas itu, sengetkan kepala anda ke bawah di bahagian telinga yang berkenaan untuk memudahkan serangga tersebut keluar.

Berjumpa dengan doktor

Jika anda tidak dapat mengeluarkan serangga selepas mencuba rawatan rumah di atas, anda perlu berjumpa doktor dengan segera. Doktor anda akan mengeluarkan serangga secara selamat tanpa mencederakan saluran telinga anda. 

Dalam prosedur tersebut, doktor anda akan menggunakan otoskop untuk memeriksa telinga dan mengenal pasti serangga itu. Jika ubat titis telinga yang digunakan dalam rawatan rumah tidak membunuh serangga tersebut, doktor anda mungkin akan menggunakan ubat anestetik untuk membuatkan telinga anda kebas sebelum mengeluarkannya. Seterusnya, mereka mungkin akan menggunakan forsep, alat penyedut yang perlahan atau membersihkan telinga anda dengan air suam untuk mengeluarkan serangga. Dalam sesetengah kes, terutamanya bagi kanak-kanak, kaedah sedatif mungkin diperlukan.

Jika anda mengalami simptom seperti rasa sakit yang berpanjangan, saluran telinga bengkak, hilang pendengaran atau tanda jangkitan seperti nanah, sakit yang semakin teruk atau demam, dapatkan rawatan perubatan dengan segera kerana ia boleh menjadi tanda yang telah berlaku kecederaan serius pada saluran telinga.

Apa Yang Perlu Dielakkan Jika Ada Serangga Dalam Telinga Anda

Mengetahui apa yang tidak boleh dilakukan apabila semut masuk telinga anda adalah sama penting seperti mengetahui tindakan betul yang perlu diambil. Sesetengah tindakan boleh menerukkan lagi keadaan, meningkatkan risiko kecederaan atau jangkitan.

Jangan guna putik kapas atau alat pengorek telinga

Menggunakan putik kapas atau alat pengorek telinga boleh menyebabkan beberapa komplikasi:

  • Ia boleh menolak serangga masuk lebih jauh ke dalam saluran telinga, meningkatkan risiko kerosakan pada gegendang telinga anda. 
  • Memasukkan objek begini ke dalam telinga mungkin akan mencederakan saluran telinga anda, mendedahkannya pada jangkitan, terutamanya jika ia sudah dimasuki serangga.
  • Memenyekkan serangga dengan alat ini boleh menjadikannya lebih sukar untuk mengeluarkan serangga tersebut sepenuhnya. Walaupun jarang berlaku, anggota badan serangga yang tertinggal di dalam telinga boleh menyebabkan jangkitan telinga.

Jangan curahkan air panas ke dalam saluran telinga anda

Percubaan untuk mengeluarkan serangga keluar dari telinga menggunakan air panas akan mendatangkan lebih mudarat berbanding kebaikan. Air panas boleh merosakkan kedua-dua gegendang dan saluran telinga dan ia akan menyebabkan serangga termasuk jauh lebih dalam. Tambahan lagi, perubahan suhu yang ekstrem di dalam saluran telinga akan menyebabkan rasa pening dan simptom lain, yang mungkin akan menyulitkan lagi keadaan.

Cara Mengelakkan Serangga Masuk Ke Dalam Telinga

Pelbagai jenis penyumbat telinga

Walaupun ianya mustahil untuk menjauhkan diri kita daripada serangga, terutamanya ketika melakukan aktiviti luar, terdapat beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mengurangkan risiko serangga masuk ke dalam telinga anda. Contoh-contohnya adalah seperti berikut:

  • Menggunakan alat penyumbat telinga ketika tidur, terutamanya ketika berkhemah atau tidur di luar rumah.
  • Pastikan rumah dan tempat tidur anda bersih untuk mengelakkan serangga daripada beranak-pinak.
  • Menggunakan kelambu atau ubat nyamuk ketika tidur di luar rumah atau di tempat yang banyak serangga.

Soalan Lazim Tentang Serangga Dalam Telinga

Bolehkah semut masuk telinga saya?

Ya, semut boleh masuk dalam telinga anda. Walaupun ia biasanya tidak berbahaya, kehadirannya boleh menimbulkan rasa tidak selesa atau iritasi. Jika semut masuk ke dalam telinga anda, anda boleh mengeluarkannya dengan menitiskan ubat titis telinga ke dalam saluran telinga atau menggunakan air suam untuk menolaknya keluar. Kaedah ini sepatutnya dapat mengeluarkan serangga secara selamat.

Bolehkah serangga bertelur dalam telinga saya?

Serangga yang telah masuk ke dalam telinga biasanya akan mati dengan cepat disebabkan keadaan persekitaran di dalam saluran telinga. Oleh itu, agak mustahil untuk serangga bertelur dalam telinga anda.

Adakah serangga lebih mudah masuk dalam telinga kanak-kanak?

Kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak mempunyai risiko yang sama untuk serangga masuk dalam telinga. Namun begitu, lebih sukar untuk kanak-kanak menjelaskan rasa ketidakselesaan mereka apabila ia berlaku. Ibu bapa perlu memperhatikan tanda-tanda seperti menggosok atau menggaru telinga, mereka juga boleh menjadi lebih mudah meragam, dan ini mungkin menunjukkan kesakitan atau iritasi yang disebabkan oleh serangga tersebut.

Bolehkah saya biarkan serangga mati dalam telinga saya?

Adalah lebih bagus untuk kita mengeluarkan serangga mati dalam telinga secepat yang mungkin bagi mengelakkan berlakunya komplikasi seperti keradangan atau jangkitan. Cuba keluarkannya dengan menggunakan ubat titis telinga atau air suam, atau berjumpalah dengan doktor.

Bolehkah serangga menyebabkan berlakunya kerosakan kekal pada telinga?

Situasi serangga masuk dalam telinga biasanya tidak berbahaya dan boleh menimbulkan masalah sementara seperti sakit telinga, iritasi atau jangkitan. Namun begitu, terdapat situasi yang jarang berlaku di mana ia boleh menyebabkan kerosakan serius seperti gegendang telinga pecah atau hilang pendengaran. Jika anda mengalami sakit telinga yang teruk atau hilang pendengaran, dapatkan bantuan perubatan dengan segera.

Puteri Natasha ialah Pakar Audiologi Klinikal di Rakan Pendengaran. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Audiologi dengan Kepujian dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau berpengalaman dalam menjalankan ujian pendengaran untuk orang dewasa dan kanak-kanak serta penilaian elektrofisiologi. Dia juga membantu dalam pemilihan dan pemasangan alat bantu pendengaran untuk memastikan pengguna dipadankan dengan peranti yang sesuai untuk keperluan mereka.

Puteri Natasha

Pakar Audiologi Klinikal

Jangan tunggu! Tempah ujian pendengaran di Hearing Partners hanya dengan beberapa klik!