Memahami Struktur Telinga dan Anatominya: Bahagian Dalam, Tengah dan Luar Telinga

31 Jul 2025

Artikel oleh Hearing Partners, disumbangkan oleh Siti Siddiqah, Audiologis di Hearing Partners

Telinga manusia memainkan peranan penting dalam mendengar dan mengekalkan keseimbangan badan. Kesedaran mengenai kesihatan pendengaran semakin meningkat. Penting untuk kita memahami struktur telinga. Artikel ini membincangkan struktur telinga, cara ia berfungsi dan langkah untuk mengekalkan kesihatan pendengaran kita. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut!

Gambaran Keseluruhan Struktur Telinga

Imej yang ditampilkan keratan rentas struktur telinga

Telinga boleh dibahagikan kepada tiga bahagian struktur utama: bahagian luar telinga, bahagian tengah telinga dan saluran dalam telinga. Setiap bahagian memainkan peranan yang penting dan tersendiri untuk proses pendengaran dan mengawal keseimbangan badan kita.

Bahagian luar telinga menangkap dan menyalurkan gelombang bunyi ke dalam saluran telinga. Gelombang bunyi ini akan masuk ke bahagian tengah telinga, di mana ia akan dikuatkan dan dihantar melalui tulang-tulang kecil. Akhir sekali, bahagian dalam telinga akan menukar getaran kepada isyarat saraf yang boleh ditafsirkan oleh otak, sambil memainkan peranan penting untuk mengekalkan keseimbangan badan.

Bahagian Luar Telinga

Bahagian luar telinga adalah bahagian pertama dalam laluan pendengaran, yang bertanggungjawab untuk mengumpul gelombang bunyi dari persekitaran dan menyalurkannya ke dalam saluran telinga. Bentuk struktur telinga yang unik dan ciri perlindungan yang ada padanya membantu mengoptimumkan proses pendengaran dan melindungi struktur lembut yang berada dalam telinga.

Pina

Pina, atau cuping telinga, adalah bahagian telinga yang boleh dilihat. Dibentuk oleh tulang rawan yang diliputi oleh kulit, lengkok dan rabung yang unik direka untuk menangkap gelombang bunyi dan menyalurkannya ke dalam saluran pendengaran luar. Ini menjadikan cuping telinga berkesan untuk mengenal pasti arah bunyi, di mana ini amat penting dalam persekitaran yang dipenuhi dengan pelbagai sumber bunyi seperti di jalan raya yang sibuk atau kawasan sesak.

Selain daripada peranan fungsi, cuping telinga juga bertindak sebagai lapisan pelindung untuk melindungi bahagian dalam telinga yang lebih sensitif daripada kecederaan atau pencemaran habuk.

Saluran Telinga

Saluran telinga, atau saluran pendengaran luar, adalah tiub sempit dan sedikit beralun yang berada antara cuping telinga dan gegendang telinga. Dengan panjang sekitar 2.5cm, ia membawa gelombang bunyi ke arah gegendang telinga dan meninggikan frekuensi tertentu serta meningkatkan kejelasan bunyi sebelum ia tiba di bahagian tengah telinga.

Selain daripada peranannya sebagai penghantar bunyi, struktur telinga ini juga bertindak sebagai satu barisan pertahanan yang penting. Bentuknya yang beralun menghalang objek asing, habuk dan serangga kecil daripada masuk ke dalam bahagian dalam telinga. Tambahan lagi, bulu halus yang berada dalam saluran, bersama dengan kelenjar khas yang menghasilkan tahi telinga (serumen), bertindak bersama untuk memerangkap habuk, organisma kecil dan partikel asing lain bagi mengurangkan risiko iritasi atau jangkitan.

Satu lagi aspek yang menambah fungsi perlindungan dalam saluran telinga adalah persekitarannya yang berasid, di mana ia membantu menghalang pertumbuhan bakteria dan kulat, sekaligus meningkatkan kesihatan telinga secara keseluruhan.

Bahagian Tengah Telinga

Bahagian tengah telinga bertindak sebagai jambatan antara bahagian luar dan dalam telinga, meninggikan dan menghantar getaran bunyi melalui struktur khas. Ia juga mengekalkan tekanan udara dan melindungi bahagian dalam telinga daripada perubahan bunyi dan tekanan udara yang boleh berlaku secara tiba-tiba. Bahagian tengah telinga merangkumi gegendang telinga, osikel telinga dan tiub Eustachian.

Gegendang Telinga (Membran Timpani)

Gegendang telinga adalah membran nipis dan separuh lutsinar yang membezakan antara bahagian luar dan tengah telinga. Apabila gelombang bunyi bergerak dalam saluran telinga, ia melanggar gegendang dan menyebabkannya bergetar, menukar tenaga bunyi kepada pergerakan mekanikal. Getaran ini kemudiannya dipindahkan ke osikel, iaitu tulang-tulang kecil yang berada dalam bahagian tengah telinga.

Selain daripada peranannya dalam penghantaran bunyi, struktur telinga ini juga memainkan peranan sebagai lapisan perlindungan. Ia melindungi bahagian tengah telinga daripada bakteria, air dan debu, menghalang berlakunya jangkitan dan iritasi. Namun begitu, apabila gegendang telinga merengsa atau pecah, anda mungkin akan mengalami rasa sakit, hilang pendengaran atau mengalami masalah telinga yang kronik.

Osikel Telinga

Di dalam bahagian tengah telinga terdapat tiga tulang kecil yang dikenali sebagai osikel: maleus (tukul), inkus (andas) dan tulang rakap. Tiga tulang ini membentuk satu rantaian kecil yang meninggikan dan menghantar getaran bunyi dari gegendang telinga ke koklea. Tulang rangkap, di mana ia adalah tulang terkecil, berada di hujung rantaian ini dan memainkan peranan penting untuk memindahkan tenaga bunyi ke dalam bahagian dalam telinga.

Osikel ini dihubungkan oleh ligamen dan otot yang membantu mengawal pergerakannya. Apabila bertindak balas dengan bunyi bising yang kuat, satu refleks dikenali sebagai refleks akustik akan mengurangkan pergerakannya secara sementara bagi mengelakkan bahagian dalam telinga daripada rosak. Sebarang kerosakan kepada osikel, contohnya seperti terkehel, mengalami jangkitan atau pertumbuhan tulang yang tidak normal (yang boleh dilihat dalam masalah telinga seperti otosklerosis) boleh menyebabkan berlakunya hilang pendengaran konduktif.

Tiub Eustachian

Tiub Eustachian adalah satu saluran sempit yang menghubungkan bahagian tengah telinga ke belakang hidung dan bahagian atas tekak. Tiub ini akan terbuka ketika melakukan aktiviti seperti menelan, menguap atau mengunyah untuk membolehkan udara mengalir masuk ke dalam atau keluar dari tengah telinga. Ini membantu menyamakan tekanan udara pada kedua-dua gegendang, mengelakkan rasa tidak selesa, kurang pendengaran atau rasa sakit ketika berlakunya perubahan altitud atau hidung tersumbat.

Selain daripada mengawal tekanan, tiub Eustachian juga berperanan sebagai saliran untuk sebarang cecair atau mukus yang mungkin terkumpul di dalam bahagian tengah telinga, sekaligus menghalang berlakunya jangkitan. Untuk kanak-kanak, tiub ini lebih pendek dan mendatar, mendedahkannya kepada jangkitan di bahagian tengah telinga (otitis media).

Tiub Eustachian yang rosak atau tersumbat secara berpanjangan boleh membawa kepada masalah telinga kronik, seperti jangkitan berulang, pembentukan cecair atau hilang pendengaran sementara.

Bahagian Dalam Telinga

Orang yang memegang model telinga dalam

Bahagian dalam telinga menukar getaran bunyi mekanikal kepada isyarat elektrik untuk otak dan mengandungi organ yang bertanggungjawab untuk aspek keseimbangan badan kita. Bentuknya yang halus penting untuk kedua-dua pendengaran dan keseimbangan fizikal dalam melakukan aktiviti seharian.

Koklea

Koklea adalah struktur telinga yang melingkar dan mengandungi cecair yang menyerupai cengkerang siput. Ia bertanggungjawab untuk menukar getaran bunyi mekanikal kepada isyarat elektrik.

Di dalam koklea terdapat sel bulu yang sangat halus, setiap satunya disuaikan untuk frekuensi bunyi yang tertentu. Apabila getaran sampai di koklea, ia menyebabkan bendalir bergerak, melenturkan sel bulu dan mencetuskan pelepasan pengutus saraf yang menghantar impuls elektrik ke otak melalui saraf auditori. Proses ini membolehkan anda memahami pelbagai jenis bunyi, daripada sehalus bisikan sehingga bunyi yang paling kuat sambil mengenal pasti nada yang berbeza.

Sel bulu ini tidak boleh dihasilkan semula, yang menjadikan kerosakan daripada faktor seperti penuaan, pendedahan kepada bunyi bising yang berpanjangan atau jangkitan telinga boleh menyebabkan masalah hilang pendengaran kekal. Sensitiviti dan ketepatan koklea menjadikannya komponen yang penting dalam sistem auditori yang membolehkan anda berkomunikasi dan berinteraksi dengan dunia luar.

Saluran Separuh Bulatan

Saluran separuh bulatan adalah lingkaran yang saling berhubung dan dipenuhi cecair yang terletak agak bertentangan antara satu sama lain. Saluran ini menjadi kunci utama dalam mengesan pergerakan pusingan kepala dan memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan badan.

Setiap saluran mengandungi sel bulu deria yang bertindak balas terhadap perubahan dalam bendalir yang terhasil oleh pergerakan kepala. Apabila kepala anda berpusing, inersia bendalir melenturkan sel bulu, menghantar isyarat kepada otak tentang arah dan kelajuan pergerakan. Maklumat ini membantu anda untuk berdiri tegak, menstabilkan penglihatan dan menyelaraskan pergerakan.

Bagaimanakah Pendengaran Berfungsi?

Pendengaran adalah satu proses langkah demi langkah yang membolehkan anda mengesan dan mentafsir bunyi:

  1. Gelombang bunyi masuk ke dalam bahagian luar telinga dan melalui saluran telinga.
  2. Gegendang telinga bergetar, menghantar tenaga ke osikel.
  3. Osikel meningkatkan bunyi dan menghantarnya ke koklea.
  4. Sel bulu dalam koklea melentur, bertindak balas kepada pergerakan cecair dan menukar getaran kepada isyarat elektrik.
  5. Saraf auditori menghantar isyarat ini ke otak, yang akan mentafsirkannya sebagai bunyi.

Bagaimanakah Telinga Mengekalkan Keseimbangan?

Sistem keseimbangan bahagian dalam struktur telinga, yang terdiri daripada saluran separuh bulatan dan vestibul, memantau kedudukan dan pergerakan kepala secara berterusan. Apabila anda bergerak, cecair di dalam struktur ini akan berubah, melenturkan sel bulu sensori dan menghantar maklumat secara masa nyata ke otak mengenai perubahan arah dan kelajuan pergerakan. Maklum balas ini membolehkan otak menyelaraskan pergerakan otot dan mengekalkan keseimbangan badan, walaupun ketika melakukan pergerakan yang tiba-tiba atau sukar.

Sistem keseimbangan berfungsi dengan isyarat visual dari mata dan maklumat deria dari otot dan sendi, menghasilkan gambaran keseluruhan orientasi badan anda di dalam satu-satu ruang. Sebarang masalah dengan organ keseimbangan di dalam bahagian dalam telinga akan menimbulkan simptom seperti pening kepala, rasa tidak stabil atau vertigo, menyebabkan aktiviti seharian menjadi mencabar.

Bagaimanakah Cara Untuk Mengekalkan Telinga Yang Sihat?

Kebersihan telinga yang bagus adalah penting untuk menghalang berlakunya jangkitan telinga dan mengekalkan tahap pendengaran yang optimum. Berikut adalah beberapa petua yang boleh anda amalkan:

  • Mengamalkan rutin penjagaan telinga yang bagus: Bersihkan bahagian luar telinga secara perlahan-lahan; elak memasukkan objek seperti putik kapas atau jari ke dalam saluran telinga.
  • Lindungi telinga anda daripada bunyi bising yang kuat: Gunakan penyumbat telinga ketika berada di dalam persekitaran yang bising seperti di tapak pembinaan atau kelab.
  • Pastikan telinga kering: Keringkan telinga anda selepas berenang atau mandi untuk mengelakkan jangkitan.
  • Dapatkan nasihat perubatan: Jika anda mengalami sakit telinga, hilang pendengaran atau rasa tidak selesa yang berpanjangan, dapatkan rawatan daripada pakar telinga atau ahli audiologi.

Dengan mengamalkan habit yang mudah ini, anda boleh mengekalkan pendengaran dan kesihatan telinga anda dalam jangka masa panjang.

Soalan Lazim Tentang Anatomi Telinga

Struktur telinga yang manakah tidak akan mempengaruhi pendengaran sekiranya rosak?

Oleh kerana saluran separuh bulatan di dalam telinga melibatkan keseimbangan berbanding pendengaran, kerosakan kepada struktur telinga ini tidak akan mempengaruhi pendengaran anda. Namun begitu, ia akan memberi kesan kepada keseimbangan badan atau menyebabkan pening kepala.

Apakah masalah yang biasa berlaku kepada telinga?

Jangkitan telinga sememangnya biasa berlaku dan boleh terjadi kepada semua golongan umur. Otitis eksterna (sindrom telinga perenang) memberi kesan kepada bahagian luar saluran telinga, manakala otitis media, jangkitan di bahagian tengah telinga, selalunya terjadi kepada kanak-kanak. Jangkitan ini mungkin akan menimbulkan simptom seperti rasa sakit, demam dan hilang pendengaran sementara.

Lagi satu masalah yang biasa terjadi adalah kerosakan tiub Eustachian, di mana tekanan dalam telinga meningkat akibat daripada tiub Eustachian yang tidak berfungsi atau tersumbat. Ini akan menyebabkan rasa tidak selesa, rasa telinga tersumbat atau hilang sedikit pendengaran. 

Akhir sekali, hilang pendengaran, yang boleh terjadi kepada sekurang-kurangnya 21.57% populasi rakyat Malaysia adalah lagi satu masalah biasa yang berkaitan dengan telinga. Ia mungkin disebabkan oleh penuaan, pendedahan kepada bunyi bising atau kerosakan kepada sel bulu di dalam koklea dan ini selalunya tidak dapat dirawat.

Siti Siddiqah ialah Pakar Audiologi Klinikal di Rakan Pendengaran. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan dengan Kepujian (Audiologi) dari Universiti Sains Malaysia (USM). Dilengkapi dengan lebih 8 tahun pengalaman audiologi, dia meningkatkan kualiti hidup keseluruhan mereka yang mengalami masalah pendengaran.

Siti Siddiqah

Pakar Audiologi Klinikal

Jangan tunggu! Tempah ujian pendengaran di Hearing Partners hanya dengan beberapa klik!