Artikel oleh Hearing Partners, disumbangkan oleh Fathiah Ahmad Fuad, Audiologis di Hearing Partners
Tiub Eustachian adalah saluran yang menyambungkan telinga tengah dengan belakang hidung dan atas tekak anda. Setiap tiub bersambung dari telinga tengah hingga ke nasofarinks, iaitu bahagian atas tekak di belakang hidung. Bahagian yang paling hampir dengan telinga adalah bertulang manakala bahagian yang terhampir dengan tekak terdiri daripada tulang rawan (tulang yang lebih lembut).
Tiub Eustachian terbuka dan tertutup semasa melakukan aktiviti seperti menelan dan menguap. Ia membantu mengawal tekanan, mengeluarkan cecair dan melindungi bahagian telinga tengah. Artikel ini akan membincangkan anatomi, peranan penting yang ia mainkan untuk mengekalkan fungsi telinga yang sihat dan beberapa gangguan yang boleh terjadi padanya.
Perkara Penting Untuk Difahami
- Tiub Eustachio merupakan saluran yang terdiri daripada tulang dan rawan yang menghubungkan bahagian telinga tengah dengan belakang hidung dan tekak atas.
- Tiub ini memainkan peranan penting dalam mengimbangi tekanan telinga, mengeluarkan cecair daripada telinga tengah dan membantu melindungi telinga daripada jangkitan.
- Keadaan yang biasa menjejaskan tiub Eustachio termasuklah kerosakan tiub Eustachio, jangkitan telinga tengah dan Patulus Tiub Eustachio (PET).
- Petua biasa yang boleh dilakukan untuk membuka tiub Eustachio yang tersumbat termasuklah menelan, menguap, mengunyah dan menyembur semburan atau pelega hidung.
- Penting untuk anda bertemu dengan doktor sekiranya simptom tersebut berpanjangan, menjadi semakin teruk atau disertai dengan rasa sakit, hilang pendengaran atau pening kepala.
Apakah Fungsi Tiub Eustachio?
Tiub Eustachio memainkan tiga peranan penting:
Menyeimbangkan Tekanan Udara
Tiub Eustachio membantu menyeimbangkan tekanan udara di kedua-dua bahagian gegendang telinga anda. Apabila anda menelan, menguap atau mengunyah, tiub ini akan terbuka seketika untuk membolehkan sedikit udara mengalir masuk ke bahagian tengah telinga. Ini membantu menyeimbangkan tekanan, mengelakkan rasa tidak selesa atau sensasi “meletup” dalam telinga anda, terutamanya ketika berlaku perubahan ketinggian seperti menaiki kapal terbang atau menyelam.
Mengeluarkan Cecair Dari Telinga Tengah
Tiub ini juga membolehkan cecair yang secara semula jadinya terkumpul di bahagian tengah telinga untuk mengalir keluar ke tekak, di mana ia kemudiannya akan ditelan. Pengeluaran cecair ini menghalangnya daripada terkumpul, di mana jika tidak dikeluarkan, mungkin akan menyebabkan berlakunya jangkitan seperti otitis media.
Melindungi Bahagian Telinga Tengah
Apabila tertutup, tiub Eustachio bertindak sebagai penahan yang menghalang rembesan, bakteria dan virus dalam hidung dan tekak daripada masuk ke bahagian tengah telinga.
Apakah Gangguan Yang Biasanya Terjadi Pada Tiub Eustachio?
Tiub Eustachio memainkan peranan penting untuk mengekalkan tekanan udara dalam telinga dan pengeluaran cecair, tetapi apabila ia gagal berfungsi dengan baik, beberapa gangguan boleh berlaku. Keadaan ini boleh memberi kesan kepada pendengaran, keseimbangan badan dan keseluruhan kesihatan telinga, dan boleh terjadi akibat daripada telinga tersumbat, keradangan dan keadaan tidak normal di dalam struktur telinga.
Kerosakan Tiub Eustachio (ETD)
Kegagalan Tiub Eustachio (ETD) yang menjejaskan kira-kira 5% golongan dewasa1, berlaku apabila tiub Eustachio gagal untuk terbuka dan tutup dengan betul. Ini boleh membuatkan tiub Eustachio tersumbat, yang mempengaruhi keseimbangan tekanan di dalam telinga dan mungkin akan menyebabkan rasa tidak selesa, cecair terkumpul atau sukar untuk mendengar. ETD boleh terjadi untuk sementara atau menjadi kronik, bergantung kepada penyebabnya.
Penyebab
ETD boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai masalah yang memberi kesan kepada telinga, hidung atau tekak. Penyebab ini mungkin bersifat sementara, seperti berlaku ketika demam selesema atau sebab yang berpanjangan seperti faktor struktur atau berkaitan dengan imun. Dalam kebanyakan kes, keadaan ini berkaitan dengan tiub Eustachio yang terhalang disebabkan oleh keradangan atau penyumbatan.
- Jangkitan di bahagian atas sistem pernafasan: Keradangan yang terjadi akibat demam selesema boleh menyumbatkan tiub Eustachio, memberi kesan kepada kemampuannya untuk mengawal tekanan.
- Alahan: Hidung tersumbat akibat reaksi alahan memberi kesan kepada fungsi tiub.
- Jangkitan sinus: Pertambahan mukus dan bengkak boleh mengganggu proses pengaliran keluar cecair.
- Merokok: Meradangkan laluan udara dan meningkatkan keradangan, menaikkan risiko penyumbatan tiub Eustachio yang kronik.
- Struktur tidak normal: Sesetengah individu dilahirkan dengan tiub yang lebih sempit atau kurang berfungsi, menjadikannya lebih cenderung untuk mengalami tiub Eustachio tersumbat.
- Penyakit autoimun: Keradangan kronik akibat penyakit autoimun boleh membuatkan tiub Eustachio sering tersumbat.
Simptom
Untuk kes ETD, penyumbatan tiub Eustachio boleh menimbulkan pelbagai simptom berkaitan telinga yang memberi kesan kepada pendengaran, kawalan tekanan dan keseimbangan badan. Masalah ini boleh bersifat sementara atau berterusan, bergantung pada tahap keseriusan kerosakan.
- Sakit telinga atau rasa tidak selesa
- Rasa telinga penuh atau telinga tersumbat
- Hilang pendengaran sementara
- Tinitus (bunyi nyaring atau berdesing)
- Pening kepala atau masalah keseimbangan
Mengenal pasti tanda-tanda ini dengan awal boleh membantu kita mendapatkan rawatan segera dan menghalang sebarang komplikasi.
Rawatan
Menguruskan kerosakan Tiub Eustachio melibatkan usaha menangani sebab di sebaliknya dan mengurangkan simptom melalui kombinasi penggunaan perubatan dan bukan perubatan. Rawatan mungkin diambil dari sudut perubahan ringkas pada gaya hidup sehingga pengambilan ubat-ubatan atau, untuk kes yang lebih serius, melibatkan proses pembedahan kecil.
- Ubat anti-sumbat: Ubat-ubatan ini membantu melegakan saluran hidung yang membengkak, menjadikan tiub Eustachio lebih mudah terbuka dan menyamakan tekanan di dalam telinga.
- Steroid nasal: Preskripsi ini berfungsi dengan mengurangkan keradangan di dalam saluran hidung, sekaligus membaiki fungsi tiub Eustachio.
- Antihistamin: Ubat-ubatan ini berkesan untuk ETD berkaitan alahan kerana ia mengurangkan penghasilan mukus dan penyumbatan nasal, mengurangkan kemungkinan untuk tiub Eustachio tersumbat.
- Irigasi nasal: Rawatan ini melibatkan proses memancutkan cecair salin ke dalam saluran hidung untuk mencuci mukus dan mengurangkan penyumbatan yang mungkin telah menyebabkan tiub Eustachio tersumbat.
- Perubahan gaya hidup: Melakukan perubahan seperti berhenti merokok, mengelakkan alergen dan mengekalkan diet sihat boleh menggalakkan kesihatan telinga dan pernafasan untuk jangka panjang.
- Pembedahan: Prosedur seperti tuboplasti belon Eustachio mungkin boleh dipertimbangkan untuk kes tiub Eustachio tersumbat yang teruk atau kronik apabila kaedah rawatan lain tidak berjaya.
Dengan rawatan awal dan perubahan gaya hidup, kebanyakan pesakit ETD boleh menguruskan simptom secara berkesan dan mengelakkan komplikasi.
Otitis media
Otitis media (jangkitan bahagian tengah telinga) adalah satu keadaan biasa berlaku di mana bahagian tengah telinga, terletak betul-betul di belakang gegendang telinga, meradang disebabkan jangkitan bakteria atau virus. Ia biasanya akan menyebabkan pembentukan cecair, tekanan atau rasa tidak selesa di dalam telinga. Walaupun ia boleh menimpa pelbagai peringkat umur, ia biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak. Malah, hampir 90% kanak-kanak boleh terkena otitis media sebelum mereka masuk ke alam persekolahan2.
Penyebab
Beberapa faktor boleh menyebabkan otitis media, kebanyakannya akan mengganggu proses normal pengeluaran cecair atau menyebabkan jangkitan. Sebab-sebab berikut biasanya melibatkan keradangan, jangkitan atau tiub Eustachio tersumbat.
- Tiub Eustachio yang dijangkiti: Apabila bengkak atau tersumbat (akibat selsema, alahan, atau jangkitan sinus), tiub ini memerangkap cecair di telinga tengah, yang membawa kepada jangkitan.
- Adenoid dijangkiti: Adenoid yang membesar atau dijangkiti berhampiran tiub Eustachio boleh menghalang pengeluaran cecair, meningkatkan risiko jangkitan. Ini biasanya sering terjadi kepada kanak-kanak.
- Jangkitan pada bahagian atas sistem pernafasan: Virus atau bakteria dari selesema boleh merebak ke bahagian tengah telinga.
- Kualiti udara yang teruk atau pendedahan pada asap: Meradangkan saluran pernafasan dan meningkatkan risiko jangkitan.
- Minum dari susu botol sambil berbaring: Untuk kanak-kanak, ini akan menyebabkan susu memasuki tiub Eustachio, menyebabkan jangkitan berlaku.
Simptom
Jangkitan tengah telinga boleh menunjukkan beberapa simptom, biasanya berbeza mengikut tahap keseriusan dan umur pesakit tersebut. Mengenal pasti tanda-tanda ini dengan awal dapat membantu anda mendapatkan rawatan segera.
- Sakit telinga atau rasa tidak selesa
- Keluar cecair atau nanah dari telinga
- Rasa telinga penuh
- Hilang pendengaran sementara
- Demam
- Meragam atau sukar tidur (terutamanya kanak-kanak)
- Menarik atau menyentap telinga (untuk kanak-kanak)
- Hilang selera atau keseimbangan
Jika mana-mana simptom ini berpanjangan atau semakin teruk, terutamanya kanak-kanak, penting untuk anda mendapatkan nasihat pakar kesihatan profesional untuk mendapatkan diagnosis dan penjagaan yang betul.
Rawatan
Rawatan untuk otitis media diberi berdasarkan sebab atau tahap jangkitan. Walaupun kebanyakannya akan sembuh dengan sendiri, ada juga yang memerlukan ubat atau prosedur kecil untuk melegakan simptom dan mengelakkan komplikasi.
- Pemantauan: Dalam kebanyakan kes, terutamanya bertahap sederhana, jangkitan akan baik dengan sendirinya dalam masa beberapa hari tanpa rawatan.
- Melegakan kesakitan: Ubat yang dibeli di farmasi seperti paracetamol atau ibuprofen membantu menguruskan sakit dan demam.
- Antibiotik: Diberikan hanya untuk jangkitan yang teruk atau berpanjangan.
- Pelega hidung sumbat atau antihistamin: Membantu mengurangkan keradangan yang berkaitan dengan jangkitan di bahagian atas sistem pernafasan atau alahan.
- Timpanostomi (tiub telinga): Tiub kecil dimasukkan ke dalam gegendang telinga secara pembedahan untuk membantu mengeluarkan cecair dan menghalang jangkitan berulang lagi.
Anda perlu sentiasa mendapatkan nasihat perubatan jika simptom yang dialami menjadi teruk, berpanjangan atau sering berulang. Rawatan yang awal dan betul boleh membantu melindungi keselamatan telinga dan pendengaran untuk jangka panjang.
Patulus Tiub Eustachio
Gangguan Patulus Tiub Eustachio adalah satu keadaan yang jarang berlaku di mana tiub Eustachio, yang biasanya akan sentiasa tertutup dan hanya terbuka seketika ketika melakukan aktiviti seperti menelan atau menguap, kekal terbuka pada setiap masa. Apabila injap ini terbuka, bunyi dari saluran hidung dan kawasan tekak akan bergerak ke telinga, menyebabkan anda mendengar suara atau nafas anda sendiri, malahan dapat mendengar nadi jantung anda dengan kuat.
Penyebab
Gangguan Patulus Tiub Eustachio boleh dicetus atau diterukkan oleh beberapa faktor kesihatan atau gaya hidup.
- Hilang berat badan yang ketara: Hilang berat badan boleh mengurangkan lemak yang menyokong tiub Eustachio, menjadikannya lebih cenderung untuk kekal terbuka.
- Alahan nasal yang kronik: Radang atau iritasi pada saluran nasal boleh memberi kesan kepada fungsi tiub.
- Keadaan neuromuskular: Ini boleh merosakkan kawalan otot di sekitar tiub.
- Refluks asid: Pendedahan kronik kepada asid perut boleh meradangkan saluran atas udara, memberi kesan kepada fungsi tiub Eustachio.
- Stres dan kerisauan: Ini mungkin akan menerukkan lagi simptom atau meningkatkan kepekaan anda pada bunyi yang terhasil dari dalam.
Simptom
Simptom jelas untuk masalah Patulus Tiub Eustachio adalah berkaitan dengan pergerakan bunyi yang tidak normal antara hidung, tekak dan telinga disebabkan tiub Eustachio yang sering terbuka.
- Rasa penuh atau tekanan di dalam telinga
- Mendengar suara anda sendiri atau bunyi nafas dengan kuat (autofoni)
- Kepekaan meningkat terhadap bunyi dalaman badan, seperti bunyi nadi jantung atau peredaran darah
Jika anda sering mengalami simptom sebegini, penting untuk anda segera bertemu doktor untuk mendapatkan diagnosis yang betul.
Rawatan
Rawatan untuk masalah Patulus Tiub Eustachio adalah bertujuan untuk mengurangkan simptom dan membantu tiub Eustachio untuk kembali tertutup secara normal. Kebanyakan rawatan akan dimulai dengan langkah konservatif manakala pembedahan akan dipertimbangkan untuk simptom yang berterusan.
- Mengelakkan pelega hidung sumbat dan kafein: Ini akan membuatkan simptom menjadi lebih teruk dengan mengeringkan tisu.
- Kekalkan hidrasi: Dengan minum banyak air, anda akan membantu tisu untuk kekal lembap dan mengurangkan simptom.
- Ubat titis hidung: Ubat titis yang berasaskan asid atau hormon boleh membuatkan lapisan dalam hidung meradang, membuatkan tiub tertutup.
- Pilihan pembedahan: Untuk kes yang teruk, implan, tampalan atau cantuman lemak mungkin digunakan untuk menebalkan tisu di sekeliling tiub dan membantunya tutup.
Soalan Lazim Tentang Tiub Eustachio
Mengapakah tiub Eustachio saya tersumbat?
Tiub Eustachian yang tersumbat biasanya disebabkan oleh bengkak atau pengumpulan cecair yang menghalangnya daripada terbuka dengan betul. Ini mungkin disebabkan oleh (tetapi tidak terhad kepada):
- Selesema atau jangkitan saluran pernafasan atas
- Radang sinus
- Alahan
- Perubahan pada tekanan udara seperti ketika dalam penerbangan atau menyelam
- Adenoid yang membesar, terutamanya di kalangan kanak-kanak
Dalam kebanyakan kes, penyumbatan ini bersifat sementara dan akan sembuh sebaik sahaja puncanya dirawat.
Bilakah saya perlu bertemu doktor untuk gangguan tiub Eustachio?
Anda perlu berjumpa doktor jika simptom gangguan tiub Eustachio anda berpanjangan lebih daripada beberapa minggu, menjadi semakin teruk atau menimbulkan rasa yang sangat tidak selesa seperti sakit telinga yang serius, hilang pendengaran atau mengalami masalah keseimbangan badan. Rawatan perubatan yang segera menjadi semakin penting jika simptom tersebut mengganggu aktiviti harian anda atau jika terdapat tanda-tanda jangkitan seperti demam atau cecair keluar dari telinga.
Bagaimanakah diagnosis gangguan tiub Eustachio dibuat?
Gangguan tiub Eustachio didiagnosis melalui penilaian simptom secara terperinci dan pemeriksaan fizikal. Doktor anda akan memeriksa saluran telinga anda, gegendang telinga, saluran hidung dan tekak untuk melihat tanda-tanda radang atau tersumbat. Ujian lanjut termasuklah timpanometri yang menilai bagaimana telinga tengah anda berfungsi dan ujian pendengaran untuk menilai sebarang masalah hilang pendengaran.
Berapa lamakah gangguan tiub Eustachio boleh berlaku?
Gangguan tiub Eustachio biasanya akan sembuh dalam masa satu atau dua minggu. Namun begitu, untuk kes ETD yang kronik, simptom mungkin akan berpanjangan selama beberapa minggu, bulan malahan tahun, di mana ia memerlukan pengurusan yang berterusan.
Bagaimanakah Saya Boleh Membuka Tiub Eustachio yang Tersumbat?
Selalunya, anda boleh membuka tiub Eustachio yang tersumbat menggunakan teknik mudah yang membantu menyeimbangkan tekanan atau mengurangkan penyumbatan. Kaedah ini merangsang tiub untuk terbuka dan membolehkan udara mengalir secara normal.
Anda mungkin boleh mencuba untuk:
- Menelan, menguap atau mengunyah untuk membantu membuka tiub
- Menggunakan penyembur atau pelega hidung untuk mengurangkan bengkak dan radang
- Kekal hidrasi
Sekiranya simptom berterusan, menjadi semakin teruk atau disertai dengan rasa sakit, hilang pendengaran atau pening kepala, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor. Ahli penjaga kesihatan profesional boleh menilai punca dan mengesyorkan rawatan yang bersesuaian.
Bolehkah gangguan tiub Eustachio dihindari?
Walaupun mustahil untuk menghalang gangguan tiub Eustachio sepenuhnya, anda masih boleh mengambil langkah-langkah berikut untuk mengurangkan risiko anda:
- Gunakan penyumbat telinga ketika menaiki kapal terbang untuk mengelakkan masalah telinga yang berkaitan dengan tekanan udara
- Elak suhu melampau untuk mengurangkan iritasi telinga
- Kekal hidrasi untuk memastikan mukus kekal sedikit, menyokong fungsi telinga dengan lebih baik
Bolehkah komplikasi berlaku akibat gangguan tiub Eustachio?
Ya, walaupun komplikasi daripada gangguan tiub Eustachio jarang terjadi, masalah yang berpanjangan atau tidak dirawat boleh menyebabkan pekak dan kerosakan kekal pada gegendang telinga atau tengah telinga. Penting untuk anda berbincang dengan penyedia penjagaan kesihatan anda sekiranya simptom berterusan melebihi beberapa minggu untuk mengelakkan sebarang kemungkinan masalah jangka panjang.
Fathiah Ahmad Fuad ialah Pakar Audiologi Klinikal di Rakan Pendengaran. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Audiologi dengan Kepujian dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan didaftarkan di bawah Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia MAHPC(AUD)00512. Dia mendapat kepuasan dalam membantu orang yang mengalami masalah pendengaran dan membimbing mereka melalui perjalanan mereka.


